
Norton Manx R bukan sekadar sebuah superbike eksotik dari Britain, tetapi sebuah jentera yang dibangunkan dengan falsafah perlumbaan sebenar dan mengembalikan perasaan seronok untuk menunggang. Ujian tunggangan bermula di laluan lurus lebuh raya sekitar Seville sebelum diteruskan ke jalan berbukit dan berliku di kawasan pedalaman Sepanyol, kemudian diakhiri dengan sesi intensif di litar Monteblanco. Dalam semua keadaan, karakter Manx R kekal konsisten, pantas, stabil dan sangat mudah dikawal.
Perkara paling ketara ialah bagaimana motosikal ini begitu mudah turun ketika memasuki selekoh. Penunggang tidak perlu menggunakan banyak tenaga untuk mengubah arah kerana kombinasi casis aluminium ringan dan kedudukan enjin V4 72 darjah yang lebih tinggi membantu menghasilkan pusat graviti yang sangat seimbang. Hasilnya, jentera terasa ringan ketika masuk selekoh tetapi masih kukuh ketika memecut keluar.

Di Monteblanco, sistem quickshifter upshift dan downshift antara komponen yang paling menyerlah. Pertukaran gear berlaku dengan cukup lancar walaupun gear diturunkan secara agresif pada rpm tinggi sebelum membrek masuk ke selekoh tajam. Sistem auto-blipper memastikan enjin tidak mengerang atau terasa kasar ketika rev-matching dilakukan.
Aerodinamik fairing yang bersih tanpa winglet besar turut membantu kestabilan di laluan lurus berkelajuan tinggi. Norton Manx R akhirnya memberikan pengalaman tunggangan yang agresif tetapi tetap mesra dan meyakinkan kepada penunggang.
Tiga hari berada di Seville bersama media-media serata dunia serta tenaga kerja dari TVS Motor Company dan Norton Motorcycles, menjadi satu pengalaman yang cukup bermakna buat kami. Dari sesi pengenalan jentera oleh barisan individu yang membangunkan jentera, sesi tunggangan di lebuh raya, laluan berbukit sehinggalah ujian di litar Monteblanco, setiap detik membuka peluang untuk memahami sendiri falsafah pembangunan Norton Manx R sebagai sebuah superbike moden berkarakter British. Terima kasih kepada seluruh pasukan TVS dan Norton Motorcycles di atas layanan serta peluang eksklusif ini. Pengalaman ini bukan sahaja memberi gambaran lebih dekat tentang teknologi dan prestasi jentera, malah memperlihatkan kesungguhan Norton dalam mengembalikan reputasi jenama legenda ini ke tahap lebih tinggi di pentas dunia.
Teruskan bersama Two Wheels..!
The post Norton Manx R: Superbikes British Yang Ringan, Stabil Dan Jinak Di Selekoh appeared first on TW Media.


