Norway dituntut segera bayar balik ganti rugi peluru berpandu, bukti ikhlas jaga hubungan dengan Malaysia

LocalPolitics
3 Jun 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Norway dituntut segera bayar balik ganti rugi peluru berpandu, bukti ikhlas jaga hubungan dengan Malaysia Image from: Norway dituntut segera bayar balik ganti rugi peluru berpandu, bukti ikhlas jaga hubungan dengan Malaysia johardy03/06/2026 - 09:00 Model peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) dipamerkan semasa pembukaan kilang peluru berpandu Kongsberg Gruppen ASA di Kongsberg, Norway, pada 20 Jun 2024. (Sumber: Getty Images) Oleh Mohamad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Jun - Malaysia menggesa Norway membuktikan keikhlasannya dalam mengekalkan hubungan dua hala dengan mempercepatkan proses bayaran balik ganti rugi susulan pembatalan lesen eksport peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) yang menjejaskan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) negara.

 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau telah menyampaikan pendirian itu secara langsung kepada rakan sejawatnya dari Norway baru-baru ini.

 

Menurut beliau, kesediaan Norway membantu mempercepatkan proses bayaran balik berkenaan akan menjadi petunjuk jelas sama ada negara itu benar-benar komited untuk memelihara hubungan baik yang telah lama terjalin dengan Malaysia.

 

 

 

 

“Punca kepada segala-galanya ialah keputusan Norway untuk tidak meluluskan lesen eksport ke Malaysia. Oleh itu, Norway tidak boleh lepas tangan dalam perkara ini kerana keputusan mereka yang menyebabkan masalah ini berlaku.

 

“Jika mereka ikhlas mahu menjaga hubungan dua hala, bantuan mempercepatkan bayaran balik ini adalah antara bukti yang boleh ditunjukkan,” katanya pada sidang media selepas program pertemuan bersama pemandu teksi di Terminal Bas dan Teksi Kota Tinggi pada ahad, menurut laporan Bernama.

 

Mohamed Khaled berkata, Malaysia berpandangan kerajaan Norway boleh memainkan peranan lebih aktif dengan mendahulukan bayaran ganti rugi kepada Malaysia sebelum menguruskan tuntutan semula daripada syarikat pertahanan negara itu yang terlibat dalam kontrak berkenaan.

 

Katanya, pendekatan itu lebih wajar memandangkan syarikat yang gagal memenuhi kontrak tersebut adalah syarikat dari Norway dan bukannya berpunca daripada kegagalan Malaysia.

 

“Syarikat yang gagal memenuhi kontrak ini adalah syarikat Norway. Jadi, sebagai sebuah kerajaan, Norway boleh berunding dengan syarikat mereka sendiri daripada memaksa Malaysia menunggu tanpa sebarang kepastian,” katanya.

 

Beliau berkata, dana berkenaan amat diperlukan bagi membolehkan Kementerian Pertahanan mendapatkan sistem peluru berpandu alternatif untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

Menurut beliau, tindakan unilateral Norway itu bukan sahaja memberi kesan kewangan kepada Malaysia, malah menimbulkan persoalan mengenai kebolehpercayaan jaminan undang-undang serta kontrak pertahanan antarabangsa yang telah dimeterai dan dibayar.

 

Mohamed Khaled menganggarkan kerugian langsung yang ditanggung Malaysia melebihi RM600 juta, manakala kos tidak langsung termasuk penggantian sistem persenjataan, integrasi pada kapal dan latihan baharu boleh melonjakkan jumlah keseluruhan kepada lebih RM1 bilion.

 

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian sedang menilai beberapa pilihan pengganti daripada negara seperti Itali, Perancis, Turki, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Jepun bagi memastikan keperluan operasi TLDM tidak terjejas.

 

 

 

 

 

 

Walaupun menerima permohonan maaf yang dikemukakan Norway, beliau menegaskan tindakan undang-undang serta tuntutan ganti rugi terhadap kegagalan perolehan tersebut akan diteruskan.

 

Menurut Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), kontrak perolehan NSM dimeterai antara TLDM dan syarikat itu pada April 2018 dengan nilai 124 juta euro (RM571.9 juta) untuk melengkapkan enam kapal LCS baharu negara. - DagangNews.com

Terkini featured standard