johardy18/05/2026 - 08:00 Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan “bantahan keras” Malaysia dalam satu panggilan telefon kepada Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre, dengan menegaskan bahawa “kontrak yang telah ditandatangani ialah instrumen yang bersifat serius, bukan seperti konfeti yang boleh ditaburkan secara sewenang-wenangnya dan tanpa kawalan”. MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com Episod Norway–Malaysia ini membuka satu persoalan yang lebih besar daripada sekadar isu pembelian senjata.
Kontrak peluru berpandu yang dikatakan hampir muktamad — dengan bayaran awal dilaporkan sehingga 95% — tiba-tiba dibatalkan pada saat akhir. Bukan ditangguhkan. Bukan disemak semula. Tetapi dibatalkan selepas hampir semua proses komersial dianggap selesai.
Keturunan Vikings ini tidak tahu, adab berniaga orang Malaysia amat pantang bila diperlaku sedemikian. Cubalah shopping di Petaling Street. Runding, runding, tawar menawar... dah setuju semua tiba-tiba tak jadi beli, ada kena maki tak sempat keluar dari situ.
Dan dalam dunia pertahanan, itu bukan sekadar “deal tak jadi”. Itu adalah isyarat yang sangat jelas: dalam sesetengah keadaan, kontrak bukan lagi dokumen komersial semata-mata, tetapi instrumen yang boleh berubah apabila lanskap geopolitik berubah.
Malaysia dimalukan.
Isu ini tidak boleh dilihat sebagai insiden terpencil atau sekadar gangguan perolehan.
Dalam konteks lebih luas, Malaysia sedang berdepan satu bentuk abused berulang di peringkat global — bahawa kelancaran perolehan strategik negara ini tidak sentiasa linear, dan boleh terdedah kepada gangguan luar jangka.
Ini penting kerana dalam industri pertahanan, persepsi kestabilan sama kritikal seperti spesifikasi sistem itu sendiri.
Dan apabila persepsi itu mula terbentuk, ia bergerak lebih pantas daripada fakta.
Norway dan Australia — timing yang terlalu “teratur”
Pada masa yang hampir sama kontrak itu dibatalkan, Norway memperkukuh hubungan pertahanan dengan Australia, negara yang berada dalam orbit AUKUS dan struktur keselamatan Indo-Pasifik yang lebih besar.
Secara rasmi, ini adalah pengukuhan kerjasama strategik.
Tetapi secara geopolitik, timing itu tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Ia menimbulkan satu naratif yang lebih besar: realignment keutamaan keselamatan.
Dan apabila realignment berlaku, negara-negara yang tidak berada dalam lingkaran teras sering menjadi “secondary consideration”, walaupun hubungan diplomatik kekal baik di permukaan.
Bukan Mahu Emosi
Persoalan yang timbul bukan bersifat emosi, tetapi struktur.
Jika Norway semakin rapat dengan blok keselamatan tertentu, dan pada masa sama membuat keputusan kontrak yang memberi kesan kepada Malaysia, maka secara tidak langsung timbul persoalan tentang kedudukan Malaysia dalam hierarki keutamaan strategik mereka.
Ini bukan soal “kawan atau bukan kawan” dalam definisi diplomatik biasa. Ini soal siapa yang dianggap critical partner, dan siapa yang tidak.
Dan di sinilah muncul persoalan lebih sensitif — Malaysia pada pandangan Norway, bukan sahabat negara itu untuk melayakkannya menjual senjata. Dan sebagai bukan sahabat, tiada apa diharap daripada Malaysia.
Ingatkan mentaliti Eropah ini sudah berkubur selepas Perang Dunia Kedua.
Ada orang lain hasut Norway?
Dalam dunia pertahanan moden, jarang sekali keputusan besar benar-benar berdiri sendiri.
Walaupun secara rasmi setiap negara membuat keputusan berdasarkan kepentingan nasional masing-masing, realitinya sering melibatkan lapisan koordinasi, sensitiviti sekutu, dan perhitungan geopolitik yang lebih luas.
Tiada bukti bahawa Norway dipengaruhi pihak lain dalam kes ini. Sebab kita tahu Donald Trump marah betul terhadap NATO sebab tidak menghantar tentera ke Selat Hormuz.
Tetapi dalam analisis pertahanan, ketiadaan bukti bukan bermaksud ketiadaan pengaruh.
Dan di situlah ruang interpretasi mula terbuka. Mungkin Eropah mahu jadi kuasa dunia lagi. Tak serik-serik.
Ironi Malaysia: neutral, tetapi tidak selalu dilihat neutral
Malaysia sejak sekian lama memegang prinsip non-aligned — berkawan dengan semua blok, tanpa mengikat diri secara eksklusif kepada mana-mana kuasa besar.
Hubungan dengan Barat, Timur, negara jiran dan kuasa global dibina atas prinsip keseimbangan.
Namun episod ini menimbulkan satu reaksi yang tidak selesa: adakah prinsip neutrality Malaysia sentiasa diterjemahkan dengan cara yang sama oleh pihak luar?
Atau adakah dalam dunia hari ini, neutrality hanya dihormati selagi ia tidak mengganggu keutamaan blok tertentu?
Pelaburan Norway di Malaysia
Apa yang menjadikan episod ini lebih kompleks ialah hakikat bahawa hubungan Norway–Malaysia bukan hubungan permukaan.
Melalui Government Pension Fund Global (GPFG), Norway mengurus dana kekayaan negara terbesar di dunia dengan pelaburan sekitar US$3.15 bilion di Malaysia.
Pelaburan ini meliputi hampir 200 syarikat tersenarai, termasuk sektor perbankan utama seperti Maybank, CIMB dan Public Bank, selain syarikat pengguna dan industri seperti Genting Malaysia dan MR DIY.
Sektor kewangan sahaja menyumbang lebih satu pertiga portfolio ekuiti mereka di Malaysia.
Dalam pasaran pendapatan tetap pula, pendedahan meningkat kepada kira-kira AS$1.47 bilion, termasuk bon kerajaan Malaysia dan bon korporat seperti Petronas.
Lebih penting, Norges Bank Investment Management (NBIM) bukan sekadar pelabur pasif — ia aktif dalam isu tadbir urus pasaran Malaysia, termasuk menyokong penambahbaikan struktur pasaran oleh Securities Commission Malaysia.
Ini bukan hubungan marginal. Ini hubungan yang sudah menjadi sebahagian daripada ekosistem kewangan Malaysia sendiri.
Membalas Budi
Adakah Malaysia berani membalas terhadap Norway, bukan sekadar dengan kenyataan keras?
Adakah Malaysia berani mengambil pendekatan “tit-for-tat” seperti President Donald Trump dengan membatalkan beberapa kontrak besar yang dimenangi oleh entiti Norway?
Pada pandangan saya, kita tidak perlu meniru Donald Trump. Kita ini negara yang baik di Asia Tenggara. Kita tidak mahu ada konflik dengan keturunan Vikings, walaupun dalam kes ini mereka yang telah memungkiri janji mereka.
Malaysia pun bukan negara kuasa dunia. Kuasa ASEAN pun bukan. Kecik saja kita. Maka Malaysia wajar memilih kaedah membina diplomasi bukan konfrontasi terbuka.
Pendekatan kita lebih kepada kestabilan, bukan berbalas serangan. Tetapi serangan dalam media sosial, itu nasiblah.
Beli senjata dari negara yang sudi menjual
Dalam konteks ini, Malaysia tidak mempunyai banyak ruang selain memperluas pilihan perolehan strategik.
Malaysia perlu melihat ke tempat lain. Dan tak perlu sudah berbeli di Eropah. Takkan hendak pisang berbuah lima enam kali nanti. Kelak sendiri makin teruk kena kecam, sudahlah kapal perang tak siap-siap.
Kepada warga Eropah, janganlah marah marah nanti bila Malaysia beralih kepada Rusia atau China yang tidak mempunyai “klausa kecil tersembunyi” dalam dokumen perjanjian pembelian mereka atau sesuka hati batalkan perjanjian.
Dan mengajar Norway tentang erti sebenar integriti, menghormati perjanjian, serta tidak memperlakukan Malaysia sedemikian rupa lagi. - DagangNews.com


