Norza Bawa Keluarga Ke Olimpik Paris 2024 Guna Peruntukan Sendiri, Kata MOM

7 Aug 2024 • 10:28 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Sukan Olimpik Paris 2024 kali ini nyata penuh dengan cerita dan kisahnya tersendiri.

Sejak daripada pengenalan pakaian rasmi buat atlet negara sehinggalah yang terbaharu mengenai kehadiran keluarga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang turut berada di Paris.

Ada yang mempersoalkan kehadiran mereka di sana walhal jurulatih pemain badminton wanita negara Goh Jin Wei iaitu Nova Armada tidak berpeluang menemani anak didiknya itu.

Walau bagaimanapun, Norza menjelaskan dia mempunyai kuota khas untuk membawa tetamu sendiri dan kuota itu tiada kaitan dengan kad akreditasi yang membabitkan kontinjen dan pasukan Malaysia.

Malah, MOM dalam satu kenyataan kepada FMT turut memaklumkan bahawa pegawai kanan yang menghadiri temasya sukan tersebut diberi kad akreditasi khas yang membenarkan mereka membawa jemputan khas ke temasya itu.

Jawapan tersebut bagaimanapun tidak disenangi peminat sukan tanah air.

Norza Bawa Keluarga Guna Dana Sendiri

Terbaharu, MOM sekali lagi tampil menjelaskan bahawa Norza tidak menggunakan dana kerajaan bagi menampung perjalanan ahli keluarganya ke Paris.

Sebaliknya, beliau menggunakan dana sendiri bagi membiayai perbelanjaan keluarganya.

Jelas MOM, pihaknya dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) hanya mempermudahkan akses dan ia dilakukan bagi memastikan tiada sumber kerajaan yang digunakan bagi tujuan berkenaan.

Tambah mereka lagi, kehadiran Norza yang juga merupakan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan keluarga adalah mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh IOC serta MOM.

“Pada saat ini, adalah penting bagi kita sebagai rakyat Malaysia memberi tumpuan kepada perkara paling penting, iaitu menghulurkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada atlet negara yang mewakili negara di pentas dunia.

“Marilah kita bersatu hati dan menyalurkan tenaga kita untuk meraikan pencapaian mereka dan menggalakkan usaha mereka,” kata MOM yang dipetik daripada Sinar Harian.

Kuota Khas Disediakan Khas Buat Pucuk Pimpinan

Pada masa yang sama, MOM turut mengulas isu kuota khas yang turut menjadi kritikan ramai pihak.

Menurut MOM, kuota khas diperuntukkan khusus untuk pucuk pimpinan mana-mana badan, majlis atau jawatankuasa Olimpik negara masing-masing.

Jelas MOM, ini termasuklah buat individu yang memegang jawatan seperti Presiden, Setiausaha Agung selain daripada selain Ketua Negara, dan Menteri Sukan.

“Kuota ini hanya menyediakan akses ke kawasan VIP dan tidak meliputi akses ke padang permainan (FOP), bilik persalinan, atau tempat penginapan atlet di Perkampungan Sukan.

“Ia menjadikannya tidak praktikal untuk jurulatih atau kakitangan sokongan menggunakan kuota ini kerana ia tidak memberi akses yang diperlukan untuk menyokong atlet secara efektif.

“Disebabkan akses yang terhad, pasukan sokongan kepada mana-mana atlet harus diatur di luar akses IOC,” ujarnya.

Source: