
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia telah mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan dilanda banjir kilat dalam tempoh 24 jam melibatkan beberapa kawasan di Selangor dan Perak.
Amaran berkenaan dikeluarkan berdasarkan maklumat ramalan hujan yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS Malaysia.
Bagi negeri Perak, terdapat tiga buah daerah yang terlibat iaitu, Bagan Datuk (Pekan Simpang Empat serta kawasan sekitarnya), Hilir Perak (Changkat Jong serta kawasan sekitarnya) dan Perak Tengah (Pasir Salak, Pasir Panjang Hulu serta kawasan sekitarnya).
Seterusnya, Selangor pula melibatkan lima buah daerah iaitu, Klang (Pekan Kapar serta kawasan sekitarnya), Hulu Langat (Hulu Langat serta kawasan sekitarnya), Kuala Langat (Pekan Jenjarom, Kelanang serta kawasan sekitarnya), Kuala Selangor (Pekan Bestari Jaya serta kawasan sekitarnya) dan Petaling (Petaling, Pekan Serdang serta kawasan sekitarnya).
Berdasarkan kenyataan daripada JPS, notis kesiapsiagaan ini bertujuan untuk membolehkan semua penduduk, terutamanya di kawasan yang berisiko untuk sentiasa cakna dan berwaspada dengan sebarang kebarangkalian berlakunya banjir kilat bagi tempoh yang dinyatakan.
Orang awam dinasihatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa.
HEBAHAN NOTIS KESIAPSIAGAAN KEMUNGKINAN BANJIR KILAT (DALAM TEMPOH 24 JAM)
DIKELUARKAN PADA: 8 DISEMBER 2022 (5.00 PETANG)
Negeri-negeri yang terlibat adalah Perak dan Selangor.#JPSMalaysia pic.twitter.com/oElOrvDIcX
— JPS Malaysia Official (@jps_malaysia) December 8, 2022
Sumber: JPS via Twitter
The post Notis Amaran Untuk Perak & Selangor, Siap Siaga Mungkin Dilanda Banjir Dalam Tempoh 24 Jam appeared first on Siakap Keli.
