Novel Airmata Wajib Baca; Terusir oleh Buya Hamka

Sales & Promo
14 Aug 2024 • 5:00 PM MYT
Sue Oshin
Sue Oshin

Seorang surirumah, penulis dan penterjemah yang telah terbit naskhahnya,

Image from: Novel Airmata Wajib Baca; Terusir oleh Buya Hamka
Foto Kredit: Sue Oshin

Siapa saja yang tidak pernah dengar tokoh bernama Hamka. Hamka cukup terkenal dengan karya-karyanya yang mengangkat tema percintaan antara dua darjat. Tidak hanya Terusir, malah karya-karya lain seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick, Di Bawah Lindungan Kaabah, Margarita Gauthier dan sebagainya.

TERUSIR. Tajuk yang sesuai dengan kisah yang dipersembahkan. Spoiler alert untuk ulasan buku ini.

Memperkenalkan watak utama dalam kisah ini iaitu Mariah. Mariah merupakan seorang wanita yang malang nasibnya dan beberapa kali telah diusir sepanjang hidupnya. Ringkasnya, Mariah terpaksa ke lembah hina untuk sesuap nasi demi meneruskan kehidupan yang sebatang kara.

Pada permulaan cerita, Mariah telah diusir oleh suaminya bernama Azhar yang telah termakan dek hasutan dan juga fitnah dari keluarganya. Sepuluh tahun mereka mendirikan rumahtangga dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Sofyan. Akibatnya, Mariah terpaksa dipisahkan dengan anaknya. Sepanjang perkahwinan, keluarga mentua tidak menyukai dirinya kerana jurang perbezaan darjat antara mereka. Pelbagai fitnah dan tuduhan dilontarkan kepada Mariah tanpa dapat bersuara untuk mempertahankan dirinya. Lontaran fitnah yang sering Mariah dapat ialah dikatakannya Mariah ini seorang perempuan jahat. Maka, Azhar langsung mempercayai hasutan keluarganya tanpa sedikitpun cuba menyelidik dan menyebelahi isterinya meskipun sudah melayari bahtera alam rumahtangga sehingga sepuluh tahun.

Setelah diusir oleh suaminya, Mariah mencari tempat berteduh di rumah pakciknya (sahabat arwah bapanya) tetapi isteri pakciknya pula terlampau cemburu kerana risau jika Mariah merampas suaminya. Dengan itu, dia sudah merancang untuk menuduh Mariah mencuri barang kemasnya. Lalu, atas tuduhan tidak berasakan ini asbab dirinya juga miskin, maka pakciknya mempercayai kata-kata isterinya dan mengusir Mariah keluar dari rumah tersebut. Sekali lagi, Mariah diusir dengan cara yang cukup hina.

Mariah bingung harus ke mana dia ingin membawa diri. Sudahlah tidak mempunyai keluarga, kenalan pun tidak ada. Dia mencari inisiatif lain dengan berkunjung dari rumah ke rumah untuk mencari pekerjaan demi menyara kehidupannya yang sehelai sepinggang. Akhirnya, dia bertemu dengan keluarga Belanda yang kaya raya malah baik hati. Makan minum dan tempat tinggalnya terpelihara selama 5 tahun dia berkhidmat sebagai pembantu rumah. Pada suatu hari, keluarga Belanda membawa khabar duka buat Mariah. Dia terpaksa berhenti kerana keluarga Belanda itu akan berhijrah ke Eropah.

Image from: Novel Airmata Wajib Baca; Terusir oleh Buya Hamka
Foto Kredit: Jejak Tarbiah

Mariah buntu harus ke mana selepas ini. Akhirnya, Mariah berkahwin lagi sekali dengan teman sekerjanya yang sama-sama berkhidmat dengan keluarga Belanda tersebut selepas penghijarahan mereka ke Eropah. Mariah menerima lamaran lelaki tersebut lantaran dia tiada tempat bergantung dan tempat tinggal. Dia berharap suami barunya itu akan memelihara dirinya tetapi hampa kerana suaminya cuma mahu harta yang dia simpan sepanjang kerja di situ. Barang kemasnya habis dijual oleh lelaki tersebut. Sekali lagi, Mariah diusir oleh suaminya itu kerana hartanya telah kehabisan dan tidak dapat memberikan manfaat kepada lelaki itu.

Mahu atau tidak, Mariah perlu meneruskan hidup. Dia terpaksa mencari kerja lain untuk menanggung dirinya dan akhirnya dia memilih untuk masuk ke rumah pelacuran akibat desakan hidup. Dari sinilah gelaran Maria tidak didengar lagi lantaran dia telah menukar namanya kepada Neng Sitti.

Masa berlalu dengan cepat sehinggalah 10 tahun kemudian, anaknya Sofyan telah berjaya dalam hidup dan menjadi seorang peguam. Nama anaknya merata di keratan akhbar dan menjadi perbualan masyarakat. Kerinduan Mariah terhadap anaknya makin menebal dan terpaksa dipendam untuk menjaga nama baik anaknya lantaran dirinya adalah seorang pelacur dan perempuan hina. Saban hari dia dapat melihat anaknya dari jauh sahaja tetapi jauh di sudut hati, dia teringin membelai anaknya. Betapa kuatnya naluri seorang ibu yang dipaksa untuk berpisah dengan satu-satunya anak yang dikandung.

Image from: Novel Airmata Wajib Baca; Terusir oleh Buya Hamka
Foto Kredit: Jejak Tarbiah

Suatu hari, Mariah terdengar pertengkaran antara seorang wanita dan lelaki bernama Wirja di dalam sebuah bilik di rumah pelacuran. Setiap bait pertengkaran itu, Mariah tertangkap nama anaknya Sofyan yang menjadi perbualan antara mereka. Setelah perempuan itu keluar dari bilik, Mariah mengambil kesempatan untuk mendekatkan diri dengan Wirja dan mengorek segala ketidakpuasan hati lelaki tersebut demi menyelamatkan anaknya. Dengan ini, dia terpaksa mengakui yang dirinya adalah ibu kepada Sofyan. Maka, peluang ini diambil oleh Wirja untuk menjatuhkan reputasi Sofyan kerana rupa-rupanya ibu musuhnya adalah seorang perempuan hina. Pergelutan berlaku antara mereka apabila Mariah merayu untuk tidak memalukan anaknya tetapi Wirja ingkar yang akhirnya membawa kepada pembunuhan di rumah pelacuran.

Mariah disabitkan kesalahan membunuh dengan sengaja dan secara kebetulan seorang peguam telah dilantik untuk menjadi peguambela kes tersebut iaitu anaknya sendiri, Sofyan. Sepanjang mereka berjumpa untuk menyelesaikan kes itu, Mariah sedikit pun tidak mengakui yangg dirinya adalah ibu kepada Sofyan kerana khuatir anaknya tidak boleh menerima keadaan dirinya. Dibukukan perasaannya itu sehinggalah kes perbicaraan mereka berlangsung. Kehadiran Azhar di mahkamah tersebut untuk menyaksikan anaknya buat pertama kali telah mengejutkan dirinya. Kes yang diambil anaknya itu adalah kes bekas isterinya. Sepanjang sebutan kes tersebut, Mariah sekali lg merahsiakan identitinya dan Sofyan "bertarung" sehabis baik untuk membela nasib Mariah di hadapan Hakim.

Selesai perbicaraan, sementara menunggu keputusan Hakim terhadap hukuman Mariah, Sofyan memanggilnya “ibu” kerana sudah lama tidak merasa kasih seorang ibu dan menganggap Mariah seperti ibunya sendiri. Baginya, Mariah mempunyai hati nurani yang sangat baik. Permintaan Mariah sebelum ajalnya dijemput adalah untuk mencium kening Sofyan buat kali terakhir telah tertunai walaupun ketika itu Azhar berada disamping Sofyan (mereka seolah-olah tidak mengenali antara satu sama lain). Mariah pergi dengan tenang sebelum sempat Hakim memberi kata putus terhadap hukumannya.

Image from: Novel Airmata Wajib Baca; Terusir oleh Buya Hamka
Foto Kredit: Jejak Tarbiah

Setahun kemudian, Azhar pula telah jatuh sakit. Di saat-saat akhir hidupnya, dia memanggil Sofyan untuk merungkai segala rahsia antara dia dan juga Mariah dan berharap Sofyan akan memaafkan dirinya sebelum dia pergi dengan tenang. Sofyan terkejut bahawa perempuan tua yang yg dibelanya dulu adalah ibunya sendiri. Sedikitpun dia tidak merasa dendam terhadap ayahnya malah dia faham benar mengapa semua ini terjadi. Azhar menyesal atas perbuatannya sehingga membiarkan isterinya hidup terkontang-kanting tanpa halatuju malah hidup perempuan itu hancur binasa.

Mariah, Azhar, Sofyan dalam Terusir. Karya yang sangat dicadangkan untuk dibaca. Peringatan ! Sediakan tisu, anda bukan sahaja sebak malah akan mengeluarkan airmata juga.


Sue Oshin adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.