NRES perkukuh keupayaan ramalan cuaca, integrasi teknologi AI

LocalTechnology
23 Mar 2026 • 1:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Arthur - Foto fail Bernama

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) terus komited untuk memastikan negara sentiasa bersiaga dengan memperkukuh keupayaan pemantauan dan ramalan cuaca yang lebih jitu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, sejajar dengan cabaran iklim pada tahun 2026, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan mengintegrasikan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan analitik data raya ke dalam Sistem Amaran Awal Multi-Bahaya (MHEWS).

Menurutnya, inisiatif ini membolehkan penyampaian maklumat amaran awal seperti banjir kilat, ribut tropika dan fenomena cuaca ekstrem dilakukan dengan lebih pantas kepada agensi pengurusan bencana serta masyarakat setempat.

"Selain itu, pemerkasaan Pusat Kecemerlangan Iklim Negara kini menjadi teras kepada penyelidikan impak perubahan iklim bagi menyokong penggubalan dasar adaptasi nasional yang lebih mampan dan berdaya tahan.

​"Pihak Kementerian juga memberikan penekanan serius terhadap aspek literasi cuaca di peringkat akar umbi melalui program 'Meteorologi Untuk Rakyat'.

"Usaha ini bertujuan untuk membudayakan sikap kesiapsiagaan dalam kalangan komuniti agar setiap amaran yang dikeluarkan dapat diterjemahkan kepada tindakan pencegahan yang efektif," katanya dalam kenyataan pada Isnin sempena Hari Meteorologi Sedunia 2026.

Tambah Arthur, pemerkasaan aset teknikal dan pembangunan kepakaran modal insan dalam bidang meteorologi adalah pelaburan keselamatan jangka panjang yang penting bagi menjamin kelangsungan sosioekonomi negara.

Jelasnya, di peringkat antarabangsa, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) khususnya bagi menyokong inisiatif Early Warnings for All.

"Komitmen ini membuktikan dedikasi NRES dalam memastikan tiada rakyat yang terpinggir daripada menerima perlindungan keselamatan iklim yang sewajarnya, selaras dengan matlamat pembangunan lestari negara.

"Malaysia hari ini menyertai komuniti global bagi menyambut Hari Meteorologi Sedunia 2026 yang mengangkat tema 'Pemantauan Hari Ini Perlindungan Hari Esok'.

"Sambutan tahun ini merupakan satu peringatan penting mengenai peranan strategik sains meteorologi dalam melindungi nyawa serta harta benda rakyat daripada ancaman cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim global," ulasnya.

Arthur turut menggesa rakyat Malaysia bersama-sama memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam dan sentiasa peka terhadap maklumat cuaca rasmi

"Setiap langkah persediaan yang kita ambil hari ini adalah pelindung bagi masa depan generasi akan datang.

"Data meteorologi yang kita hasilkan bukan sekadar angka, tetapi merupakan panduan keselamatan yang menentukan kesejahteraan rakyat kita," ulasnya.