NSDP buat sukan takraw tahun depan

26 Nov 2023 • 9:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
PSM rancang memperkenalkan NSDP tahun depan. (Gambar kecil: Mohd Sumali)

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) merancang memperkenalkan Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSDP) tahun depan dalam usaha mencungkil lebih ramai bakat baharu sukan tersebut.

Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, NSDP merupakan kesinambungan kepada program pembangunan di pelbagai peringkat akan menampilkan pendekatan lebih menyeluruh dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Pendidikan.

“Program pembangunan akar umbi ikutkan memang sudah berjalan, namun kita mahu gabungkan kesemua elemen tersebut di bawah NSDP bagi memastikan program pembangunan ini diperkembangkan.

“Kerjasama yang kita lakukan ini merupakan perkara penting supaya perjalanan pembangunan betul-betul berada di landasan sama,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Bengkel Program NSDP pada Ahad.

Menurut Mohd Sumali, PSM mengimpikan sukan itu berdiri sama hebat dengan sukan lain yang mempunyai program pembangunan tersendiri seperti hoki (NHDP), bola sepak (NFDP), ragbi (NRDP) dan bola jaring (NNDP).

“Kali ini kita serius dan bengkel hari ini juga mendapat sambutan baik dengan kehadiran hampir semua persatuan negeri, wakil MSN dan KPM.

“MSN sedia membantu daripada sudut mana yang mereka boleh bantu baik dari segi kelengkapan, penganjuran kejohanan dan sebagainya,” katanya.