NSFC bangkit, tewaskan KL City 2-1 saingan Liga Super

Football
15 May 2023 • 7:59 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) kembali mendapatkan rentak kemenangan apabila menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini semalam.

Tampil dengan semangat baharu selepas tewas dalam empat perlawanan saingan liga sebelum ini, NSFC hampir meraih jaringan pertama menerusi sepakan Sean Eugene Selvaraj dari sebelah kiri pintu gol KL City pada minit ke-35 namun tersasar dari pintu gol lawan.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi agresif namun terikat seri tanpa jaringan setelah tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan meningkatkan intensiti permainan dengan beberapa percubaan dilakukan sebelum skuad kendalian K. Devan berjaya memecah kebuntuan menerusi kapten pasukan Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak kemas menanduk hantaran pemain gantian A. Selvan untuk gol pertama tuan rumah pada minit ke-73.

Skuad kendalian Bojan Hodak kemudian menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian Zhafri Yahya yang menanduk masuk sepakan percuma Paulo Josue pada minit ke-84.

Pemain import dari Singapura Muhammad Safuwan Baharudin menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol kemenangan tuan rumah pada minit ke-87, sekali gus mengesahkan tiga mata penuh buat NSFC.

NSFC kekal di kedudukan kesembilan dengan13 mata manakala KL City FC berada di tangga keenam dengan 15 mata. -Bernama