
SEBERANG PERAI – Program Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2026 berupaya membuka ruang kepada golongan muda meningkatkan keupayaan diri bagi mencapai prestasi lebih cemerlang dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan pendapatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masyarakat tidak boleh bersikap statik sebaliknya perlu sentiasa berusaha memperbaiki diri selaras dengan perubahan semasa.
Beliau berkata, usaha memperkasa kemahiran melalui latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) penting bagi memastikan tenaga kerja negara kekal relevan serta berdaya saing.
“Anak muda hari ini harus mencapai prestasi yang lebih baik daripada generasi kami, baik dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan pendapatan.
“Sebab itu saya ucapkan terima kasih kepada Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp yang mengusahakan kerangka pelan melalui peluang-peluang latihan untuk mengangkat rakyat.
“Mengapa kita adakan NTW ini, saudara lihat di luar (ruang pameran dan aktiviti NTW) semua didedahkan, semua peluang-peluang latihan. Pergi, catat apa yang diperlukan, bagi pandangan, bagi teguran, bagi kritikan Kita perbaiki kelemahan yang ada dan pastikan tiada kelompok yang tertinggal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan 2026 di UiTM Cawangan Pulau Pinang, Permatang Pauh di sini, hari ini.
NTW 2026 yang berlangsung selama dua hari, bermula hari telah merekodkan 8,682 kursus yang ditawarkan oleh lebih 1,619 penyedia kursus, dengan lebih 674,818 penyertaan direkodkan di seluruh negara.
Dalam pada itu, Anwar memberitahu, NTW bukan sekadar program latihan, tetapi wadah untuk memberi peluang kepada rakyat meningkatkan kemahiran serta membuka lebih banyak ruang dalam pasaran pekerjaan.
“Kesyukuran bukan sekadar ucapan terima kasih, tetapi mendorong kita menuntut perubahan yang lebih baik, bekerja lebih keras, berdisiplin dan mempunyai sikap yang positif,” katanya.
Beliau turut menyeru golongan muda memanfaatkan peluang latihan yang disediakan kerajaan bagi membina masa depan lebih baik serta bersama-sama menyumbang kepada kemajuan negara. -KOSMO! ONLINE
The post NTW 2026 pacu prestasi anak muda dalam pendidikan, pekerjaan – PM appeared first on Kosmo Digital.



