Nubia Focus 5G, telefon 5G termurah ZTE dengan kamera 108MP NeoVision AI

Digital
21 Jun 2024 • 6:13 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

ZTE Malaysia baru-baru ini mengumumkan kedatangan satu lagi telefon pintar 5G yang sangat mampu milik, Nubia Focus 5G. Tahun ini merupakan tahun yang sangat sibuk buat ZTE Malaysia, dengan begitu banyak model telefon pintar dilancar.

Bermula dengan telefon gaming terhebat RedMagic 9 Pro pada awal tahun, diikuti dengan telefon lipat Nubia Flip 5G, seterusnya telefon gaming mampu milik Nubia Neo 2 5G. Selepas itu, datang pula telefon kamera Nubia Focus Pro 5G, telefon mirip iPhone iaitu Nubia V60 dan awal bulan ini, Nubia Music dengan speaker yang kuat.

Harga dan Ketersediaan

Jika anda berminat dengan telefon baru Nubia Focus 5G ini, ia sudah sedia dibeli di Malaysia sekarang. Orang ramai boleh mendapatkannya daripada pengedar sah Nubia di seluruh Malaysia, serta atas talian di Shopee. Hanya ada satu varian diperkenal dan harga rasminya di Malaysia adalah:

  • Nubia Focus 5G (RAM 6GB + Storan 256GB) – RM799

Tiada sebarang promosi pengenalan atau pembelian awal. Telefon ini datang dengan jaminan selama 18 bulan, sama seperti telefon Nubia yang lain.

Spesifikasi Nubia Focus 5G

Kuasa penggerak utama di telefon ini adalah cip Unisc T760 5G 6nm, bersama RAM 6GB dan boleh ditambah secara maya sebanyak 10GB. Storannya pantas, jenis UFS 3.1 seluas 256GB.

Untuk harga yang murah, sudah pasti menggunakan skrin LCD. Tetapi resolusinya juga rendah, hanya HD+ dengan saiz 6.6-inci tetapi ada kadar penyegaran tinggi 120Hz. Pengimbas capjari terdapat dalam butang kuasa di sisi.

Nubia Focus 5G memfokuskan pada kamera dengan harga mampu milik. Ia dilengkapi kamera utama 108MP F1.75 NeoVision AI, serta kamera potret 2MP. Kamera hadapannya menggunakan sensor 8MP, terletak di dalam lubang di dahi skrin. Dengan teknologi Live Island ala Dynamic Island di iPhone, lubang ini boleh memaparkan notifikasi dengan lebih menarik.

Tenaga telefon ini disalurkan daripada bateri berkapasiti 5,000mAh. Ia menyokong pengecasan pantas 25W, menerusi sambungan USB-C. Sistem operasi yang digunakan adalah Android 13.

Hanya ada satu warna disediakan untuk Nubia Focus 5G ini iaitu warna hitam. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Nubia Focus 5G.

[Sumber: Nubia Malaysia]

Bacaan Berkaitan