Nubia Music: Telefon ini ada semangat Xpress Music, harga RM389 sahaja

25 Jun 2024 • 9:01 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Nubia Music ialah telefon yang boleh anda dapatkan pada harga RM389. Dengan tanda harga sebegitu, tidaklah boleh anda jangkakan sesuatu yang berkelas flagship. Walau bagaimanapun, Nubia Music adalah satu telefon yang menarik untuk tahun 2024. Ia mengigatkan saya pada Nokia Xpress Music, telefon yang dihasilkan untuk audiofilia.

image is not available

Golongan 90-an sahaja pasti mengenali siri Xpress Music iaitu ketika Android dan iOS masih mentah serta Symbian masih lagi berada dalam arus perdana. Gen 90-an, cuba kongsi pengalaman Xpress Music anda untuk tatapan Gen-Z dalam ruangan komen.

Berbalik kepada Nubia Music. Keunikan utamanya adalah pada kemasan belakang. Ternyata pengeluar tak perlu menginovasikan cara penghasilkan baharu, corak beralun bertemakan alam sekitar, ataupun wujudkan terma baharu seperti "glasstic" hanya untuk nampak premium. Nubia Music hanya gunakan warna pop-art untuk cuit nostalgia pengguna.

image is not available

Kawasan yang menempatkan dua kamera belakang Nubia Music juga terdapat satu bulatan yang besar berhampirannya. Di situlah speaker gergasi Nubia Music ditempatkan. Kalau betul cara pegangannya, ia nampak seperti wajah seorang sedang menjerit.

Mungkin disebabkan penggunaan speaker besar ini, Nubia Music tidak didatangkan dengan speaker konvensional di bahagian bawah.

image is not available

Dimaklumkan yang speaker besar ini adalah 600% lebih kuat berbanding speaker telefon biasa. Selepas mencubanya, memang boleh saya sahkan yang speakernya kuat namun ia bukanlah untuk audiofilia dek bassnya yang terhad.

Untuk tonton kandungan video berdialog ataupun dengar podcast sewaktu memasak ataupun camping, memanglah sesuai kerana pertuturan boleh didengari dengan jelas.

image is not available

Cerita tetnang camping, Nubia Music ini mungkin satu-satunya telefon yang dilancarkan dalam tahun 2024 yang ada fungsi FM Radio dan bukan sebarang FM Radio, antena penerima isyarat terbina di dalam badan. Jadi anda tak perlu cucuk masuk sebarang earfon ke dalam jek audio 3.5mm untuk bertindak sebagai antena.

image is not available

Jek audio Nubia Music ada 2. Ya, ia ada dua jek audio 3.5mm bermakna anda boleh pasang dua earfon berkabel dalam masa yang sama.

image is not available

Tahun 2024, semua dah beralih pada fon putik wayarles, saya raskan dua jek audio adalah overkill kecualilah ia dilengkapi dengan digital-to-analog (DAC) berkualiti tinggi.

Berkenaan komponen, atas papan utama, Nubia Music diperkasa cip pemproses Unisoc SC9863A bersama-sama RAM 4GB dan storan 128GB.

image is not available

Ia ada fungsi RAM maya untuk jadikan jumlah RAM keseluruhan 8GB. Ia ada dwikamera belakang 50MP dan satu kamera selfie 50MP. Ia mengambil tenaga daripada bateri berkapasiti 5,000mAh dan blok pengecas 10W disediakan di dalam kotak.

image is not available

Untuk penggunaan ringkas, saya boleh katakan yang ia cukup cuma ia agak sukar untuk melakukan tugasan berat seperti menjalankan berbilang perisian dalam satu-satu masa.

image is not available

Saya harap Nubia boleh meneruskan siri ini dan pertingkatkan spesifikasinya kepada sesuatu yang lebih berkaliber. Mungkin Snapdragon 7 ataupun Helio 8000 dengan sokongan audio lossless untuk mengujakan golongan-golongan telinga lintah di luar sana.

image is not available

Anda boleh layari laman rasmi Nubia Music untuk maklumat lanjut. Anda boleh dapatkannya secara dalam talian di Lazada ataupun Shopee.