Nur Ain mencari keberkatan hasil dalam bisnes pemula

StartupEnvironment
11 Sep 2026 • 11:35 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Nur Ain mencari keberkatan hasil dalam bisnes pemula

USAHA mewujudkan sebuah syarikat yang memberi pendidikan dan latihan mengenai pengurusan serta rawatan sisa air kepada pemain industri pembuatan merupakan satu langkah penting dalam menjaga kelestarian.

Banyak aktiviti perindustrian menghasilkan air sisa yang mengandungi bahan kimia, minyak, logam berat, bahan organik dan pelbagai pencemar lain.

Menurut Pengarah Syarikat InnoEnviTech Sdn. Bhd. (IETSB), Ts. Nur Ain Mohd. Zainuddin, jika sisa tercemar dilepaskan tanpa rawatan yang sempurna, bahan-bahan itu boleh mencemarkan kawasan perairan serta menjejaskan kehidupan manusia dan hidupan akuatik.

“Bagi memastikan alam sekitar terus terpelihara, saya telah menubuhkan syarikat pemula pada awal tahun ini bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik pengusaha serta operator kilang memahami risiko pencemaran air serta tanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Kita biasa mendengar perairan kita dicemari bahan sisa industri seperti yang terjadi di Sungai Kim Kim, Johor. Namun apakah tindakan kita untuk memulihkan sungai tercemar tersebut?” katanya kepada K-Wanita baru-baru ini.

Nur Ain, 40, yang juga merupakan seorang pensyarah dalam bidang Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Mara berkata, walaupun baru setahun menubuhkan syarikat tersebut, namun dia mempunyai pengalaman lebih sedekad dalam kursus latihan rawatan air sisa industri.

Katanya, dia komited untuk menghasilkan lebih ramai Orang Yang Berwibawa (OYB) dan layak mengendalikan proses membersihkan sisa air industri.

“Setakat ini terdapat 3,500 OYB di negara kita berbanding jumlah kilang yang mencecah tiga kali ganda di seluruh negara. Jumlah ini perlu ditingkatkan bagi memastikan sistem pengairan negara bebas bahan asing.

“Sebelum bergelar OYB, operator atau penyelia kompeten mengoperasikan sistem pengolahan air limbah industri (IETS), dan perlu lulus Kursus Certified Environmental Professional in Industrial Effluent Treatment Systems (CePIETSO).

“Program ini diatur oleh Institut Alam Sekitar Malaysia (EiMAS) di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Nur Ain berkata, cabaran utama dalam bidang bisnes latihan adalah saingan daripada syarikat lain dan kesedaran moral yang tinggi perlu diberikan oleh pihak berkuasa kepada pemain industri.

Jelasnya, syarikat yang tidak mempunyai OYB sudah pasti tidak mempunyai sistem rawatan sisa industri sistematik di dalam kilang mereka.

“Kebanyakan pelanggan saya adalah syarikat berasaskan minuman dan makanan serta syarikat besi atau keluli.

“Sewajarnya, semua syarikat yang mempunyai sistem rawatan sisa air industri perlu menyediakan kakitangan mereka dengan kursus CePIETSO.

“Ia bukan sahaja baik untuk syarikat tetapi untuk kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar,” katanya.

Nur Ain yang aktif dengan kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkata, sejak lebih sedekad lalu, dia menggerakkan kempen kesedaran bersama pelajar-pelajar UiTM untuk menjaga alam sekitar marin di pulau-pulau seluruh negara.

Jelasnya, pembuangan sampah seperti botol plastik di laut akan mengancam hidupan marin, jika tiada usaha pihak berkuasa untuk mengawal aktiviti pencemaran dan mewujudkan kempen kesedaran.

“Menerusi syarikat ini, saya bersama beberapa pensyarah lain yang terlibat, kita bukan sahaja mengadakan kursus rawatan air industri untuk perniagaan.

“Malah, kami komited memastikan tiada lagi pencemaran perairan berlaku hingga boleh menyebabkan air sungai tidak boleh diproses menjadi air minuman.

“Memang kita mempunyai sasaran untuk mengadakan kursus rawatan sisa industri kepada lebih ramai warga industri.

“Namun apa yang lebih penting, biarlah disertai tanggungjawab moral untuk menjaga sumber air kita bagi generasi akan datang,” ujarnya.

Mengulas mengenai minat berniaga, Nur Ain berkata, dia pernah berniaga makanan secara kecil-kecilan semasa belajar di UiTM.

Tambahnya, walaupun orang berniaga untuk mencari keuntungan, namun bagi dirinya, biarlah datang dengan rezeki yang diberkati.

“Walaupun memperoleh hasil mencecah lima angka dan keuntungan dijana setelah ditolak modal untuk melaksanakan kursus, apa yang lebih penting sebagai peniaga adalah keberkatan hasil.

“Sebagai syarikat pemula (startup) UiTM, sumbangan syarikat untuk bidang pendidikan adalah fokus utama.

“Selain itu, kita akan terus bekerjasama dengan syarikat lain untuk melakukan CSR dalam memelihara kelestarian alam sekitar,” ujarnya sebelum mengakhiri bicara.

The post Nur Ain mencari keberkatan hasil dalam bisnes pemula appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved