“Nur Haira Berlumuran Darah, Nafasnya Perlahan” – Keluarga Kongsi Detik Cemas Nur Haira Digigit Anjing Liar

8 Sep 2026 • 10:32 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

“Nur Haira Berlumuran Darah, Nafasnya Perlahan” – Keluarga Kongsi Detik Cemas Nur Haira Digigit Anjing Liar

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Baru-baru ini, kecoh di media sosial insiden seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun di Batu Pahat, Johor yang cedera parah akibat digigit lima ekor anjing liar.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 pagi itu pada Sabtu (5 September) lalu, Nur Haira Watikah Mohammad Hamizi, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan koyakan pada kepala serta pipi berlubang akibat digigit sekumpulan haiwan berkenaan di hadapan rumah neneknya yang terletak di Kampung Tambak, Sungai Kelambu, Peserai.

Nenek Baru Selesai Mandi, Jerit Sekuat Hati Lepas Nampak Anjing Kerumuni Nur Haira

Berkongsi detik mencemaskan itu, insiden terbabit disedari oleh nenek mangsa, Darlinda Darlis yang menjerit sekuat hati untuk meminta pertolongan selepas melihat haiwan tersebut mengerumuni cucunya di hadapan rumah.

Jelas Darlinda yang berusia 56 tahun, ketika kejadian, dia baru sahaja selesai mandi sebelum mencari Nur Haira yang sebelum itu berada di dalam rumah bersama abang serta kakaknya.

“Sebelum kejadian, Nur Haira baring di sebelah abang dan kakaknya sambil meminum susu. Selepas selesai mandi, saya mencari Nur Haira sebelum mendapati pintu gelangsar dalam kea­daan terbuka.

“Sebaik keluar, saya terkejut melihat lima ekor anjing sedang menggigit Nur Haira. Saya menjerit sekuat hati meminta tolong sebelum seorang anak keluar menyelamatkan Nur Haira,” katanya yang dipetik dari Kosmo.

Nenek Segera Bawa Cucu Ke Hospital, Nur Haira Terpaksa Ditidurkan Kerana Serangan Anjing

Tambah Darlinda, dia segera membawa cucunya itu ke Hospital Sultanah Nora Ismail selepas haiwan berkenaan beredar untuk mendapatkan rawatan.

Namun, dek kerana kecederaan parah yang dialami oleh Nur Haira, mangsa terpaksa dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Malah, Nur Haira terpaksa ditidurkan di HSA akibat serangan haiwan liar berkenaan.

Nur Haira Kali Pertama Tinggal Di Rumah Nenek, Penduduk Dah Lama Bimbang Dengan Anjing Liar

Kongsi Darlinda lagi, itu merupakan kali pertama Nur Haira tinggal di rumahnya selepas dihantar oleh ibu bapa kanak-kanak terbabit sebelum ke Johor Bahru atas urusan kerja.

Sebelum ini, kanak-kanak berkenaan sering tinggal bersama datuk sebelah bapa yang tidak jauh dari rumahnya.

Dakwa Darlinda, haiwan liar terbabit dipercayai ditinggalkan pemburu selepas digunakan untuk memburu babi di kawasan kebun sawit berhampiran.

“Kami sudah lama bimbang dengan kehadiran anjing-anjing ini kerana kerap berkeliaran di kawasan rumah, malah ada yang baru melahirkan anak.

“Apabila dihalau, haiwan itu lari sekejap, tetapi selepas itu datang semula. Selain itu, ada anjing tidur di depan rumah,” ujarnya.

Ahli Keluarga Lain Masih Terbayang Wajah Nur Haira, Mangsa Begitu Lemah & Berlumuran Darah

Dalam pada itu, seorang ahli keluarga Nur Haira yang dikenali sebagai Nur menjelaskan dia masih terbayang wajah mangsa ketika diserang haiwan liar terbabit.

“Keadaan Nur Haira begitu lemah dan nafasnya sangat perlahan. Dalam keadaan berlumuran darah, saya mendukung Nur Haira untuk dibawa ke hospital.

“Darahnya banyak keluar sampai melekat pada pakaian saya. Saya hilang kata-kata kerana bi­ngung melihat keadaan Nur Haira,” katanya.

Nur Haira Selamat Jalani Pembedahan & Dilaporkan Stabil

Jelas Nur, sebelum insiden mencemaskan itu berlaku, dia yang berada di dalam rumah terdengar jeritan ibunya lalu bergegas keluar untuk menyelamatkan Nur Haira manakala ibunya pula cuba menghalau anjing tersebut.

Nur Haira kini selamat menjalani pembedahan di beberapa anggota badan pada Ahad (6 September) dan Isnin (7 September) lalu.

“Alhamdulillah pembedahan berjalan lancar dan keadaan Nur Haira dilaporkan stabil. Kami sekeluarga amat berharap dia segera sembuh,” kongsinya.

Malah, dia juga berharap agar pihak berkuasa segera menangkap anjing liar yang sering berkeliaran di kampung tersebut bagi mengelakkan kejadian sama dari berulang lagi.

“Kami tidak mahu ada mang­sa lain digigit anjing selepas ini. Jangan tunggu sampai ada orang lain yang menjadi korban,” ujarnya.

Abang Sulung Nur Haira Trauma Nampak Insiden Menimpa Adiknya

Dalam pada itu, pelakon yang juga pelawak bekas ahli kumpulan lawak Shiro, Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi berkongsi pengalaman melawat ahli keluarga mangsa.

Menerusi video yang dikongsikan di Facebook, seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai abang sulung kepada Nur Haira yang dikenali sebagai Hanif menangis kerana trauma melihat kejadian yang menimpa adiknya itu.

“Saya nampak depan mata sendiri, darah-darah cik,” katanya sambil mengesat air mata.

Shahrol kemudiannya dilihat memujuk Hanif dan meminta agar kanak-kanak itu kuat menghadapi ujian yang melanda.

“Hanif jangan salahkan diri, Hanif anak sulung, Hanif kena kuat,” kata Shahrol kepada kanak-kanak berkenaan.

Menerusi hantaran sama, Shahrol turut bersama Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) bagi melakukan operasi menangkap anjing liar terbabit.

“Dapat juga bersama team MPBP operasi menangkap anjing liar tersebut tetapi tadi berjaya jumpa sarang anaknya dan operasi akan diteruskan.

“Semoga adik Haira diberi kesihatan yang kembali pulih dan diberi juga ketabahan buat keluarga menghadapi ujian ini,” tulis Shahrol.

Polis Buka 2 Kertas Siasatan Insiden Kanak-Kanak 2 Tahun Digigit Anjing Liar

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani menjelaskan polis membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kesalahan berkaitan pengabaian kanak-kanak serta Seksyen 289 Kanun Keseksaan bagi ke­cuaian berkenaan haiwan.

Siasatan dijalankan selepas polis menerima laporan daripada pihak hospital mengenai seorang kanak-kanak yang parah digigit anjing dan menerima rawatan.

Baca Artikel Berkaitan: Rakaman CCTV Dedah Situasi Sebenar Budak 4 Tahun Diserang Anjing Liar [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Doktor Kongsi Apa Perkara Perlu Buat Jika Digigit Anjing

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved