Nurima dakwa dipukul dengan botol, kepala dihentak ke dinding ketika disoal siasat polis

5 Aug 2026 • 3:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Nurima dakwa dipukul dengan botol, kepala dihentak ke dinding ketika disoal siasat polis

TAWAU: Saksi utama mendakwa dipukul di bahagian muka menggunakan botol berisi air oleh anggota polis ketika disoal siasat bagi memaksanya mengesahkan bahawa plaintif adalah pembunuh sebenar bekas suaminya.

Dakwaan itu dinyatakan selepas peguam plaintif, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon meminta Nurima menjelaskan secara terperinci kejadian yang dialaminya bagi membuktikan keterangannya berhubung kes pembunuhan berkenaan bukan direka-reka.

Dalam keterangannya, Nurima mendakwa kepalanya dihentak ke dinding simen oleh seorang anggota polis wanita, selain dipukul di bahagian muka oleh anggota polis yang lain selepas enggan mengikut kandungan borang pengakuan yang ditunjukkan kepadanya ketika sesi soal siasat dijalankan.

Katanya, borang itu mengandungi pengakuan bahawa plaintif adalah individu yang membunuh bekas suaminya.

Nurima berkata, dia mahu memberikan keterangan sebenar, namun mendakwa tidak diberikan peluang untuk bercakap.

Katanya, polis sebaliknya menunjukkan beberapa gambar yang diambil daripada telefon bimbit Nurima termasuk gambar-gambar plaintif.

“Di situ saya terfikir kenapa gambar-gambar ini ditunjukkan dengan saya. Sedangkan saya mahu bagi tahu perkara apa yang terjadi sebenarnya. Dan polis cakap plaintif pelakunya.

“Polis itu cuba memaksa saya untuk menyatakan penjelasan di dalam satu borang yang katanya itu adalah pengakuan daripada John Kennedy (plaintif),” katanya.

Nurima mendakwa dia pada mulanya enggan menandatangani dokumen berkenaan sebelum dipukul di bahagian muka menggunakan botol berisi air.

“Awalnya saya tidak mahu tapi waktu itu saya dipukul di muka dengan botol yang penuh dengan air tetapi saya masih juga bertahan untuk tidak ikut apa yang dia (polis) mahu.

“Dia (polis) cakap John Kennedy sudah mengaku bahawa dia ada dan ambil saya di tempat kejadian. Lepas itu saya jawab: “Tidak, bukan begitu”.

“Terus mereka siram saya pakai air dan ada satu polis wanita itu dia hentak kepala saya di dinding simen. Ada dua lagi polis di situ marah dengan saya yang seolah-olah suruh saya untuk mengikut pengakuan di dalam kertas itu,” jelasnya.

Susulan keterangan itu, peguam yang mewakili defendan memaklumkan kepada mahkamah bahawa dakwaan saksi merupakan keterangan baharu yang tidak dinyatakan dalam pernyataan tuntutan sebelum memohon kebenaran untuk menyoal balas saksi mengenainya.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan keterangan saksi itu direkodkan selepas berpendapat sesi soal jawab terdahulu oleh peguam defendan terhadap saksi tidak memberi ruang secukupnya kepada Nurima untuk menjelaskan perkara sebenar sebaliknya hanya membenarkan saksi menjawab bersetuju atau tidak setuju. – UTUSAN

The post Nurima dakwa dipukul dengan botol, kepala dihentak ke dinding ketika disoal siasat polis appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved