Nurul Ain, suami kongsi kisah ketika Gaza dihujani bom

Politics
18 Nov 2023 • 5:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nurul Ain Haron bersama suami, warga Palestin, Mohamed A M Shaat tidak dapat menahan sebak ketika sesi dialog 'Gaza dihatiku' di Surau Al Mukarramah di Taman Seri Keramat pada Sabtu.

image is not available
Tetamu yang hadir tidak dapat menahan sebak ketika sesi dialog 'Gaza dihatiku' di Suradi sini pada Sabtu.

image is not available
Nurul Ain Haron bersama suami, warga Palestin, Mohamed A M Shaat.

image is not available
Tetamu yang hadir sebak mendengar perkongsian daripada Nurul Ain Haron bersama suami, warga Palestin, Mohamed A M Shaat.

image is not available
Mohamed A M Shaat (kiri) tidak dapat menahan sebak ketika sesi dialog 'Gaza dihatiku' di Surau Al Mukarramah Taman Seri Keramat di sini pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Gaza, Nurul Ain Haron, 37, akan meneruskan usaha membantu penduduk di wilayah konflik itu dengan cara menyalurkan wang tunai hasil sumbangan orang ramai.

Menurut Nurul Ain, wang berkenaan akan dimasukkan ke dalam akaun bank abang ipar yang berada di Gaza sebelum diagihkan secara terus kepada penduduk terjejas.

Ujarnya, kaedah itu lebih efektif berbanding bantuan barang keperluan seperti makanan kerana berisiko disekat dalam tempoh lama di sempadan Rafah.

“Malah sekatan oleh pihak Israel akan menyebabkan bantuan berbentuk barangan tidak dapat disalurkan secara menyeluruh.

"Jadi saya dan suami cuba mencari solusi lain untuk bantu mereka dan Alhamdulillah kami bersetuju untuk memberikan bantuan secara wang tunai.

“Abang ipar akan uruskan di sana. Tapi buat masa sekarang, kami belum boleh berbuat apa-apa kerana tidak dapat berhubung dengan mereka, sudah tiga hari kami terputus hubungan," katanya ketika sesi dialog 'Gaza dihatiku' di Surau Al Mukarramah Taman Seri Keramat di sini pada Sabtu.

Nurul Ain ditemani suami, Mohamed A M Shaat, 33, berkongsi kisah pengalaman mereka ketika Gaza dihujani bom serangan balas rejim Zionis sejak 7 Oktober lalu.

Mereka sebelum ini menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) namun berkunjung ke kampung halaman Mohamed A M Shaat di Khan Younis, Gaza buat pertama kali pada 1 Oktober lalu, selepas hampir enam tahun mendirikan rumah tangga.

Pasangan itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 November lalu setelah terkandas lebih 42 hari di wilayah berkenaan.

Ujarnya, badan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana persatuan masih boleh meneruskan usaha menyalurkan bantuan barang keperluan seperti makanan, pakaian dan sebagainya.

"Ini cara saya, saya akan teruskan usaha untuk beri wang tunai kepada mereka kerana kaedah pemberian bantuan lain seperti makanan dan lain-lain agak sukar untuk saya buat.

"Suami saya akan pulang ke Dubai minggu hadapan dan saya akan berada di Malaysia untuk menguruskan bantuan tersebut," katanya.