Nurul Izzah Dilantik Naib Presiden, Saifuddin Nasution Dilantik Semula SU Agung PKR

Politics
21 Jul 2022 • 3:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Nurul Izzah dan Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dilantik sebagai Naib Presiden PKR, manakala Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kembali menyandang jawatan setiausaha agung parti itu.

Perkara itu diumumkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rakaman audio yang dikongsi bersama media menerusi WhatsApp parti itu selepas mesyuarat pertama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR penggal 2022-2025 malam tadi.

Dua lagi Naib Presiden yang turut dilantik ialah Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Awang Sahari dan Saraswathy Kandasamy, sementara Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil sebagai Ketua Penerangan; Ahli Parlimen Selayang William Leong (Bendahari) dan Zahir Hassan (Ketua Setiausaha Pengelola).

Selain itu, lima ahli MPP yang dilantik ialah Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga Rodziah Ismail, Manivanan Gowin; Yuneswaran Ramaraj dan Abun Sui Anyit.

Pada Kongres Nasional PKR Ahad lepas, Jawatankuasa Pemilihan Parti mengumumkan secara rasmi Anwar kekal sebagai Presiden parti selepas menang tanpa bertanding, sementara Mohd Rafizi Ramli dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baharu mengalahkan Saifuddin Nasution. - Bernama