
NUSPM Pantau 352 Pelaut Malaysia Di Zon Konflik Asia Barat
KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Langkah luar jangka, termasuk kemungkinan pemindahan pelaut Malaysia, sedang dipertimbangkan secara aktif dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan dan pihak berkepentingan industri bagi memastikan kesiapsiagaan sekiranya situasi keselamatan di Asia Barat semakin meruncing.
Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM) menganggarkan kira-kira 352 pelaut Malaysia sedang berkhidmat di atas kapal yang beroperasi atau melalui kawasan terjejas konflik dan berisiko tinggi.
Setiausaha Eksekutifnya, Ikmal Azam Thanaraj Abdullah berkata berdasarkan maklumat terkini, kesemua pelaut Malaysia yang dikenal pasti di wilayah terjejas berada dalam keadaan selamat.
"Bagaimanapun, situasi berkenaan kekal tidak menentu dan sedang dipantau rapi dengan penyelarasan bersama pihak berkepentingan berkaitan," katanya kepada Bernama.
Ikmal Azam berkata pada peringkat ini, majoriti pelaut meneruskan tugas mereka mengikut obligasi kontrak masing-masing.
"Keputusan mengenai pelarasan operasi, termasuk lencongan laluan atau penggantungan sementara, dibuat oleh pemilik dan pengendali kapal berdasarkan penilaian risiko berterusan serta nasihat maritim," katanya.
Baca juga:Menurutnya, pelaut Malaysia kini ditempatkan di pelbagai kapal yang beroperasi di rantau konflik itu dan tidak tertumpu di mana-mana negara secara khusus.
"Keberadaan mereka sebahagian besarnya bergantung kepada laluan perkapalan komersial, terutamanya di sepanjang koridor maritim yang strategik. Usaha sedang dijalankan untuk mengesahkan dan memetakan taburan mereka dengan lebih lanjut," katanya.
Beliau berkata NUSPM telah terlibat secara aktif dengan pihak berkuasa utama di peringkat antarabangsa dan kebangsaan termasuk penyelarasan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, dan pihak berkuasa tempatan seperti Pihak Berkuasa Pelabuhan Hamriyah.
Di peringkat kebangsaan, beliau berkata kesatuan itu bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar, majlis keselamatan dan hal ehwal luar yang berkaitan, serta Jabatan Laut Malaysia.
"Kami mengambil maklum bahawa Ketua Pengarah Laut, Datuk Dickson Dollah telah memberikan perhatian secara langsung dan aktif dalam perkara ini.
Libat urus ini tertumpu kepada perkongsian maklumat, pemantauan risiko, dan kesiapsiagaan luar jangka," katanya.
Ikmal Azam berkata NUSPM kini mewakili kira-kira 2,000 ahli berdaftar di seluruh negara dan menyalurkan sokongan serta bantuan kepada semua pelaut Malaysia tanpa mengira keahlian kesatuan, terutamanya dalam perkara berkaitan keselamatan, kebajikan, dan tindak balas kecemasan.
"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan, di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, untuk memantau perkembangan dan memastikan langkah sewajarnya diambil sekiranya berlaku sebarang peningkatan konflik," katanya.
Rantau berkenaan kini berdepan ketidakstabilan keselamatan yang meluas sejak 28 Feb selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, yang mencetuskan serangan balas Tehran terhadap pelbagai aset dan pangkalan AS di seluruh negara Teluk.



