Nutrisel bermula hari ini, 106,435 murid nikmati sarapan percuma

LocalFamily & Parenting
3 Aug 2026 • 4:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Nutrisel bermula hari ini, 106,435 murid nikmati sarapan percuma

SHAH ALAM, 3 OGOS: Seramai 106,435 murid dan pelajar daripada keluarga berpendapatan bawah RM2,000 di Selangor mula menikmati manfaat Bantuan Sarapan Percuma Sekolah menerusi Program Nutrisi Selangor (Nutrisel), yang dilaksanakan serentak di 962 sekolah hari ini.

Tinjauan Media Selangor bersama wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sungai Buloh, di sini mendapati proses penyediaan makanan berjalan lancar, dengan 87 murid sesi pagi menerima hidangan percuma pada hari pertama pelaksanaan.

Guru Besar SK Bandar Baru Sungai Buloh, Norzainiza Buyong berkata inisiatif berkenaan membantu murid daripada keluarga kurang berkemampuan mendapatkan makanan seimbang dan berkhasiat sebelum memulakan sesi pembelajaran.

Image from: Nutrisel bermula hari ini, 106,435 murid nikmati sarapan percuma
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh, Norzainiza Buyong bercakap kepada media ketika Program NutriSel Sarapan percuma di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh pada 3 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

“Program ini banyak membantu ibu bapa dalam kalangan B40. Hari pertama ini kita melihat mereka sangat gembira menerima makanan. Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Dato’ Menteri Besar.

“Setiap kanak-kanak memerlukan makanan yang seimbang, mereka perlu makanan yang membantu tumbesaran mereka dan juga untuk minda. Sesungguhnya ini membantu ibu bapa dalam menyediakan makanan yang terbaik untuk anak mereka,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut Norzainiza, pelaksanaan Nutrisel melengkapi usaha sedia ada menerusi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) oleh Kementerian Pendidikan, selain menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan murid.

Image from: Nutrisel bermula hari ini, 106,435 murid nikmati sarapan percuma
Penolong Pengarah Seksyen Agihan dan Pembangunan, Nurhidayah Shaari beramah mesra bersama murid Tahun 4 semasa Program NutriSel Sarapan Percuma di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh pada 3 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Beliau berharap program itu dapat diteruskan sebagai sebahagian daripada dasar pentadbiran negeri bagi memastikan lebih ramai murid menerima manfaat makanan berkhasiat.

“Program ini merupakan satu program yang bagus. Kalau boleh kekalkan dan teruskan kerana hanya Selangor yang laksanakan ini. Ia menunjukkan Kerajaan Negeri mempunyai inisiatif yang baik.

“Besar harapan saya supaya program ini dapat diteruskan kepada anak-anak Selangor, khasnya,” katanya.

Sementara itu, pengusaha kantin, Siti Hajar Mohd Ali berkata pelaksanaan Nutrisel memberi kelegaan selepas beliau sering melihat terdapat murid yang hadir ke sekolah tanpa wang belanja mencukupi.

Katanya, sebelum ini ada murid yang hanya melihat rakan menikmati makanan di kantin kerana tidak berkemampuan untuk membeli makanan sendiri.

Image from: Nutrisel bermula hari ini, 106,435 murid nikmati sarapan percuma
Pengusaha kantin, Siti Hajar Mohd Ali bercakap kepada media ketika Program NutriSel sarapan percuma di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh pada 3 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

“Saya sendiri sebagai pengusaha kantin melihat hari-hari ada murid yang tidak membawa duit dan kami beri sahaja secara percuma kerana tidak sanggup lihat.

“Apabila Dato’ Menteri Besar sendiri buat program ini, kami rasa bersyukur kerana sekurang-kurangnya mereka dapat kenyangkan perut dan dapat nutrisi yang sihat. Ini dapat membantu mereka belajar di kelas,” katanya.

Program Nutrisel menyediakan bantuan makanan percuma kepada murid dan pelajar pada setiap Isnin dan Khamis bermula 3 Ogos hingga Oktober depan.

Image from: Nutrisel bermula hari ini, 106,435 murid nikmati sarapan percuma
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh, Norzainiza Buyong bersama Penolong Pengarah Seksyen Agihan dan Pembangunan, Nurhidayah Shaari mengagihkan makanan kepada murid sempena Program NutriSel Bantuan Sarapan Percuma pada 3 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah RM14.4 juta.

Nutrisel merupakan sebahagian daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang dibentangkan Dato’ Seri Amirudin Shari pada Mesyuarat Khas Dewan Negeri Selangor (DNS) Jun lalu.

Pakej itu diperkenalkan sebagai tindak balas Kerajaan Negeri terhadap cabaran kenaikan kos susulan gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan pasaran tenaga global.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved