hamden26/11/2026 - 15:58 KUALA LUMPUR 26 Nov - Nvidia dilaporkan mengarahkan rakan kongsi pengilangannya membekukan penghantaran pelayan kecerdasan buatan (AI) ke Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia susulan langkah Amerika Syarikat (AS) memperketat sekatan eksport bagi menyekat akses syarikat teknologi China kepada teknologi pengkomputeran termaju.
Menurut laporan Financial Times, pengilang peralatan asal (OEM) termasuk Dell Technologies dan Super Micro Computer (Supermicro) telah memaklumkan pelanggan di empat negara Asia Tenggara itu bahawa Nvidia tidak membenarkan pesanan perkakasan yang masih belum dihantar keluar dari kilang.
Kedua-dua syarikat berkenaan memasang pemproses grafik Nvidia ke dalam rak pelayan perusahaan yang digunakan untuk menyokong operasi pengkomputeran berskala besar.
Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada pembekuan penghantaran itu merupakan langkah sementara ketika pengilang mendapatkan penjelasan berhubung arahan pematuhan terkini Washington.
Ganggu rantaian teknologi serantau
Langkah itu berpotensi mengganggu rantaian bekalan teknologi serantau, khususnya ketika Malaysia dan Indonesia menjadi antara destinasi utama pelaburan syarikat teknologi global serta dana institusi dalam pembangunan kemudahan pusat data berskala besar (hyperscale) berasaskan AI.
Empat negara Asia Tenggara berkenaan turut menjadi destinasi utama pembangun AI China yang berusaha mendapatkan akses kepada pemproses termaju Nvidia, memandangkan cip berkenaan tidak dibenarkan dieksport secara langsung ke tanah besar China.
Perdagangan serantau itu memberikan sumbangan besar kepada perniagaan Nvidia apabila syarikat pengeluar cip dari Silicon Valley itu merekodkan hasil AS$104 bilion menerusi anak syarikat operasinya di Singapura pada 2025, meningkat 72% dalam tempoh 12 bulan.
Bagaimanapun, angka berkenaan turut merangkumi urus niaga serantau bagi Taiwan dan China.
Bagi mengatasi sekatan eksport AS, banyak pembangun AI China sebelum ini bergantung kepada penyewaan kelompok pengkomputeran daripada penyedia pengehosan awan luar pesisir yang membeli peralatan pelayan menggunakan cip Amerika yang tertakluk kepada sekatan.
Jabatan Perdagangan AS memperkenalkan peraturan perdagangan lebih ketat minggu lalu bagi menghentikan amalan berkenaan.
Peraturan baharu itu menetapkan tempoh 90 hari kepada penyedia perkhidmatan awan serantau untuk mendapatkan lesen eksport dengan mengesahkan bahawa senarai pelanggan mereka tidak merangkumi entiti China yang dikenakan sekatan.
Tiada panduan jelas sukarkan lagi keadaan
Seorang eksekutif penyedia perkhidmatan awan serantau yang terjejas berkata, ketiadaan panduan pelaksanaan bagi peraturan baharu itu mencetuskan ketidaktentuan dalam industri.
"Peraturan baharu ini sudah diperkenalkan tetapi tiada panduan mengenai pelaksanaannya. Tiada siapa tahu bagaimana untuk memohon lesen ini sedangkan tempoh 90 hari terus berjalan. Keadaan ini mencetuskan kekacauan besar di rantau ini," katanya.
Kesan awal perubahan kawal selia itu turut dirasai dalam urus niaga komersial serantau apabila syarikat perkhidmatan awan berpangkalan di Singapura, Aolani, berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan bagi perjanjian yang dirancang dengan ByteDance, syarikat induk TikTok.
Aolani sebelum ini telah merundingkan perjanjian pajakan untuk membekalkan kuasa pengkomputeran termaju kepada ByteDance.
Bagaimanapun, institusi pemberi pinjaman komersial dilaporkan menahan kemudahan kredit kira-kira AS$500 juta, sekali gus meletakkan perjanjian berkenaan di ambang kegagalan.
Sementara itu, pembekal menunjukkan Nvidia sedang mengambil langkah agresif bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap arahan persekutuan AS, meskipun terdapat jangkaan bahawa perkembangan kepimpinan syarikat itu mungkin mempengaruhi pendekatan penguatkuasaan.
Keadaan itu turut memberi tekanan kepada aspirasi teknologi China memandangkan makmal AI terkemuka negara berkenaan masih bergantung kepada perkakasan Nvidia untuk melatih model asas AI.
Nvidia enggan memberikan komen mengenai perkara itu, manakala Dell, Supermicro, ByteDance dan Aolani tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas, lapor Malay Mail. - DagangNews.com


