NVIDIA telah menghentikan sementara penghantaran mesin pelayan kecerdasan buatan (AI Server) yang menggunakan cip keluaran mereka ke Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia menurut laporan Financial Times. Ini melibatkan rakan pengeluar Nvidia seperti Dell dan Supermicro, yang dikatakan tidak lagi dapat menghantar beberapa pesanan pelanggan di negara-negara tersebut.

Langkah ini dipercayai berkaitan dengan arahan diberikan oleh Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat minggu lalu yang memerlukan lesen khas sebelum cip AI terkini dieksport ke Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Brazil.
Menerusi sekatan ini, Amerika Syarikat ingin menyekat syarikat China daripada memintas halangan penggunaan cip NVIDIA menerusi akses perkomputeran AI awanan yang ditawarkan di lima negara ini. Bagi Malaysia halangan ini akan mendatangkan impak ke atas impian negara menjadi hab AI rantau Asia Tenggara dengan pelaburan bernilai ratusan billion telah diumumkan sebelum ini.
Bagi golongan anti pusat data pula, halangan ini pastinya disambut baik kerana pusat data sedia ada menggunakan jumlah tenaga elektrik serta bekalan air yang sangat tinggi sehingga mendatangkan impak ke atas pelan menjadikan Malaysia lebih lestari.


