Tidak cukup dengan pusat data di UAE dan Arab Saudi, NVIDIA hari ini mengumumkan pembinaan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) awanan untuk perindustrian pertama dunia di Jerman. Sebanyak 10,000 GPU NVIDIA DGX B200 dan NVIDIA RTX PRO akan digunakan bagi memacu aplikasi pembuatan perindustrian.

Antara pelanggan yang akan menggunakan perkhidmatan AI awanan ini ialah BMW Group, Maserati, Schaeffler dan Volvo Cars bagi meningkatkan kemampuan perkomputeran mereka. Sementara itu Ansys, Cadence dan Siemens akan menggunakan NVIDIA CUDA-X dan pustaka AI NVIDIA pada perisian yang dibangunkan mereka. Menerusi kombinasi perisian dan perkakasan, pelanggan boleh melakukan simulasi rekaan produk dan perancangan lantai kilang sebelum ia dibina disamping merancang operasi serta logistik.



