Di acara GTC 2025 yang sedang berlangsung sekarang, Jensen Huang, CEO NVIDIA telah mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan platform adikomputer NVIDIA Blackwell Ultra B300 yang akan dimanfaatkan untuk memajukan lagi sektor kecerdasan buatan, yang semakin menghampiri AGI (Artificial General Intelligence).
Kad grafik pusat data NVIDIA Blackwell Ultra B300 ini tampil menggunakan cip pemprosesan grafik yang berbeza berbanding dengan penawaran kad grafik NVIDIA Blackwell B200 dan B100 sebelum ini. Ia mempunyai 288GB memori HBM3e terbina dan tampil dengan prestasi pengiraan FP4 setinggi 30 petaflops, hampir dua kali lebih tinggi berbanding dengan Blackwell B200.
Jensen mengatakan bahawa kad grafik Blackwell B300 ini dibangunkan untuk “Age of Reasoning”, dimana kelak, sistem kecerdasan buatan boleh membuat penaakulan dan memikirkan tentang “sebab” tentang sesuatu perkara, dan kelak, mencipta kandungan sendiri tanpa memerlukan input daripada manusia.

Pengenalan kad grafik Blackwell Ultra B300 ini juga hadir sekali dengan pengumuman tentang dua lagi produk yang menggunakan kad grafik tersebut, iaitu GB300 DGX Station dan rak mesin pelayan GB300 NV72L yang menggabungkan beberapa kad grafik Blackwell B300 dalam satu sistem. GB300 DGX Station dilihat hadir dengan 72 GPU NVIDIA Blackwell Ultra dengan 20TB memori HBM3e.
GB300 DGX Station dan GB300 NV72L boleh dimanfaatkan untuk syarikat-syarikat yang mahukan sebuah sistem adikomputer untuk tujuan penyelidikan ataupun inferens AI.
Untuk mereka yang sedang membangunkan teknologi kecerdasan buatan, lapan rak pelayan GB300 NV72L boleh digabungkan untuk dijadikan sebagai sebuah Blackwell Ultra DGX SuperPOD yang terdiri daripada 288 CPU NVIDIA Grace, 576 kad grafik Blackwell Ultra dan 300TB memori HBM3e.
Ini adalah “kilang AI” terbaru yang dijanjikan oleh NVIDIA dan boleh dimanfaatkan untuk mempercepatkan proses pembinaan teknologi kecerdasan buatan sesebuah syarikat yang mampu untuk membelinya.
Fokus NVIDIA nampaknya masih lagi pada pembangunan teknologi AI, dan samada ini akan memberi kesan kepada pasaran GPU untuk gaming akan perlu diperlihatkan, khususnya apabila ramai pihak mengatakan bahawa pasaran kad grafik untuk pengguna biasa akan lebih stabil dalam masa beberapa bulan lagi.
[/sumber[
