NVIDIA mengeluarkan kenyataan menegaskan cip keluaran mereka tidak mengandungi pintu belakang, suis membunuh dan perisian hasad yang boleh digunakan untuk memantau penggunaannya. Menyentuh isu mengenai pintu belakang, NVIDIA berkata ia hanya akan digunakan penggodam dan seteru dengan niat jahat. Ia turut akan boleh menjejaskan infrastruktur digital global dan memusnahkan kepercayaan terhadap teknologi Amerika Syarikat.
Penggunaan sistem suis membunuh (kill switch) pula mewujudkan kecacatan kekal yang di luar kawalan pengguna dan mendedahkan sistem kepada musibah. NVIDIA juga menyokong perisian terbuka dan telus yang membantu pelanggan memanfaatkan sepenuhnya GPU mereka. Sistem seperti diagnostik, pemantauan prestasi, laporan kewujudan pepijat yang disertakan adalah untuk pengetahuan dan persetujuan pengguna.

Kenyataan hari dikeluarkan selepas muncul cadangan di Amerika Syarikat supaya NVIDIA menyertakan sistem pintu belakang, pepijat dan suis membunuh yang boleh diaktifkan jika GPU keluaran mereka jatuh ke tangan entiti yang diharamkan. Isu ini dipandang serius oleh China sehingga wakil NVIDIA dipanggil untuk menjelaskan sama ada cip H20 yang digunakan di negara tersebut hadir ciri-ciri ini.
Hari ini juga dua individu warga China ditahan di California, Amerika Syarikat kerana didakwa terlibat dalam sindiket menyeludup cip kecerdasan buatan (AI) ke China. Syarikat ALX Solutions milik mereka dikatakan mengeksport cip AI dari Amerika Syarikat ke Malaysia dan Singapura sebelum diseludup ke China. Aktiviti ini telah berjaya dikesan dan menyebabkan MITI kini memerlukan permit untuk cip AI berprestasi tinggi yang berasal dari Amerika Syarikat yang sedang dalam proses eksport, pemindahan dan transit di Malaysia.
