iPad 9.7-inci merupakan model iPad paling berpatutan yang anda boleh dapat pada saat ini. Ia masih belum menerima sebarang penambah baikan dari segi perkakasannya, namun dijangka akan dikemaskini pada tahun ini.
Menurut laman UDN.com, Apple dijangka akan menaik taraf saiz iPad paling asas ini kepada saiz skrin sebesar 10.2-inci berbanding 9.7-inci pada sebelum ini. Penghasilannya akan dimulakan pada sekitar Julai ini, sekaligus menjangkakan jualannya akan hadir pada sekitar suku ke-empat tahun ini.

Apple telah memperkenalkan kembali iPad 9.7-inci pada tahun 2017 sebagai model iPad dengan penawaran paling asas. Pada tahun 2018, Apple telah menaik tarafnya dengan cip Apple A10 Fusion, selain menyertakan sokongan Apple Pencil untuk kebolehan lakaran. Pada saat ini, iPad 9.7-inci boleh didapati pada harga RM1447 (32GB) dan RM1834 (128GB) bagi model WiFi.
Walau bagaimanapun, laman tersebut tidak menyatakan sebarang fungsi dan spesifikasi yang akan hadir pada iPad 10.2-inci ini. Namun mengikut kemaskini iPad pada Mac lalu, ia mungkin akan dijana dengan cip Apple A12 Bionic, iaitu cip yang digunakan pada iPhone XS untuk kebolehan prestasi yang lebih berkuasa.
