Pasar raya NZ lancar 'quiet hour' untuk pelanggan autisme

9 Oct 2019 • 7:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

AUCKLAND - Salah satu rantaian pasar raya terbesar di New Zealand, Countdown melancarkan tempoh senyap atau quiet hour di semua cawangannya di seluruh negara khusus buat pelanggan yang mengalami masalah autisme atau mereka yang ingin membeli-belah dalam suasana tenang.

Countdown dalam satu kenyataan memberitahu, antara jam 2.30 petang (waktu tempatan) hingga 3.30 petang hari ini, kesemua 184 pasar raya itu akan mematikan bunyi muzik, memperlahankan cahaya lampu, menghentikan sementara kerja menyusun barang di rak dan tidak membuat sebarang pengumuman.

"Kami mahu pasar raya kami menjadi sebuah tempat yang mengalu-alukan kedatangan semua rakyat New Zealand dan keluarga mereka. Kami tahu membeli-belah barangan runcit boleh menjadi pengalaman mencemaskan buat sesetengah pelanggan dan kami mahu bantu anda.

"Maklum balas yang kami terima sangat positif. Mana-mana pelanggan yang sebelum ini sering menganggap beli-belah sebagai satu tekanan, kini boleh datang dalam suasana yang lebih tenang," jelas Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Keselamatan Countdown, Kiri Hannifin.

Inisiatif tersebut mendapat sokongan Autism New Zealand dan pernah dibuat di beberapa cawangan pasar raya itu tahun ini.

Ketua Eksekutif Autism New Zealand, Dane Dougan berkata, sifat autisme yang tidak dapat dilihat menyukarkan usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang kesukaran yang dihadapi pesakit itu dalam menjalani kehidupan seharian.

"Usaha ini menunjukkan bagaimana beberapa perubahan kecil boleh mewujudkan persekitaran lebih inklusif yang boleh memberi impak kepada orang ramai dengan ketara," katanya. - Agensi


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved