Objek Asing Dipercayai Mirip Torpedo Ditemui Di Perairan Indonesia

9 Apr 2026 • 6:01 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Objek Asing Dipercayai Mirip Torpedo Ditemui Di Perairan Indonesia

Tentera Laut Indonesia kini menjalankan siasatan terhadap penemuan objek dipercayai menyerupai torpedo oleh seorang nelayan.

AFP melaporkan objek itu dijumpai di perairan berhampiran Selat Lombok, laluan maritim penting yang menghubungkan Lautan Hindi dan Lautan Pasifik

Menurut pihak tentera laut, objek berukuran kira-kira 3.7 meter panjang dan 65 sentimeter lebar itu ditemui serta ditarik keluar dari laut pada Isnin lalu, kira-kira 10 kilometer dari pulau pelancongan terkenal, Gili Trawangan di wilayah Nusa Tenggara Barat.

image is not available
Kredit: nuwangzi via X

Seorang nelayan berusia 28 tahun segera melaporkan penemuan luar biasa itu kepada pihak berkuasa tempatan sebelum objek berkenaan diambil untuk tindakan lanjut.

“Tentera Laut Indonesia akan menjalankan pemeriksaan terperinci dalam masa terdekat bagi mengenal pasti asal usul, fungsi serta data yang terkandung dalam peranti tersebut

“Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) kekal komited dalam memastikan kedaulatan serta keselamatan perairan negara terpelihara daripada sebarang aktiviti tanpa kebenaran, termasuk penggunaan peranti atau peralatan bawah air oleh pihak tidak dibenarkan,” kata jurucakap Tentera Laut, Tunggul kepada AFP.

Ketua Pangkalan Tentera Laut Mataram, Asep Tri Prabowo, memaklumkan bahawa objek berkenaan kini berada di bawah pengawasan rapi dan akan dihantar ke Jakarta bagi tujuan siasatan lanjut.

Beliau berkata, pemeriksaan awal oleh skuad bom Polis Nusa Tenggara Barat mendapati objek tersebut tidak mengandungi sebarang bahan letupan mahupun radioaktif.

image is not available
Kredit: nuwangzi via X

Menurut laporan media Indonesia, tulisan pada objek itu menunjukkan ia berkemungkinan dihasilkan oleh syarikat China Shipbuilding Industry Corporation dan dipercayai merupakan peranti yang digunakan untuk mengukur kelajuan arus.

Difahamkan, penemuan objek asing di perairan Indonesia bukanlah sesuatu yang baharu.

Pada 2021, seorang nelayan turut menemui sebuah seaglider di Kepulauan Selayar, Sulawesi Selatan yang disyaki oleh pihak tentera digunakan bagi tujuan penyelidikan pemetaan lautan.

Baca juga: