Objek Yang Disyaki Serpihan Roket Milik China Ditemui Tembusi Zink Rumah Di Sibu

14 Aug 2022 • 5:44 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Objek Yang Disyaki Serpihan Roket Milik China Ditemui Tembusi Zink Rumah Di Sibu

SIBU – Serpihan roket yang dipercayai daripada Long March 5B milik China ditemui menembusi atap zink Rumah Panjang Renyam, Sungai Asan Bayu malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Balai Bomba Bintagor menyatakan bahawa, pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada 8.50 malam.

“Setibanya di lokasi, bomba menemui objek mencurigakan dipercayai serpihan roket berukuran dua sentimeter (cm) lebar dan tujuh cm panjang menembusi atap dan tersangkut di kayu alang rumah berkenaan.

“Menurut pemilik rumah, objek tersebut kemungkinan berada di atas atap beberapa minggu yang lepas kerana dia baru sahaja pulang ke rumah itu,” memetik laporan Kosmo.

Tambahnya lagi, dia hanya menyedari keberadaan objek tersebut setelah atap rumahnya bocor dan terus melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Objek yang dipercayai merupakan serpihan roket tersebut dilaporkan telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, telah tular laporan mengenai serpihan roket Long March 5B milik negara China merentasi ruang udara Malaysia serta dikesan di beberapa kawasan sekitar Sarawak.

Roket milik China itu telah dilancarkan dari Pusat Pelancaran Angkasa Wenchang di Wenchang, Selatan China pada 31 Julai yang lalu.

Terdapat juga kawasan lain yang telah dikenal pasti antaranya Kampung Semawa Ulu, Pantu Sri Aman, Kampung Nyalau, Bintulu dan Kalimantan, Indonesia.

Sumber : Kosmo