OCBC Bank komited bantu PKS terjejas akibat kenaikan kos sara hidup

LocalBusiness & Finance
10 Jul 2023 • 11:08 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

OCBC Bank komited bantu PKS terjejas akibat kenaikan kos sara hidup

zulfadli

10/07/2023 - 11:08

KUALA LUMPUR 10 Julai - OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) dan OCBC Al-Amin Bank Bhd (OCBC Al-Amin) komited untuk membantu pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perusahaan mikro dan pelanggan individu yang terjejas akibat kenaikan kos sara hidup.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OCBC Bank, Tan Chor Sen berkata, bank tersebut menawarkan pakej penjadualan serta penyusunan semula yang memenuhi keperluan.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk membantu, justeru pelanggan tidak harus ragu-ragu untuk tampil dan memberitahu jika memerlukan bantuan pembiayaan akibat kos sara hidup yang kian meningkat.

Katanya, sejak mula memberikan lebih banyak bantuan semasa pandemik beberapa tahun lalu, pelanggan yang tampil menghubungi bank mendapat sokongan yang diperlukan untuk mengharungi tempoh mencabar.

"Saya gembira memaklumkan bahawa sebahagian besar daripada kumpulan ini dapat menyambung pembayaran ansuran biasa mereka.

"Dengan kenaikan kos sara hidup, kami ingin memastikan mereka yang memerlukan bantuan mendapat perhatian sewajarnya.

"Kami menggalakkan pelanggan dalam kumpulan ini untuk menghubungi kami supaya dapat menilai cara terbaik untuk meringankan beban kewangan, walaupun mereka hanya memerlukan langkah semudah penyusunan semula pembiayaan," katanya dalam kenyataan media di sini.

Chor Sen berkata, OCBC Malaysia turut menjadikan pakej bantuan bagi pelanggan yang terjejas akibat banjir.

Katanya, hartanah individu, perusahaan mikro, PKS, pelanggan komersial dan korporat yang berada di kawasan terjejas akibat banjir berasaskan perisytiharan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hanya perlu menghubungi pihak bank untuk membincangkan bantuan atau langkah penyusunan paling sesuai berhubung dengan pinjaman atau skim pembiayaan sedia ada.

"Semua permohonan kemudian akan diberi keutamaan dan diuruskan mengikut kes dengan matlamat untuk menentukan bantuan yang paling sesuai untuk pelanggan," katanya.

Antara pakej yang lazimnya ditawarkan kepada pelanggan pinjaman/pembiayaan rumah dan peribadi dan kad kredit dalam keadaan banjir yang diisytiharkan NADMA adalah penangguhan ansuran bulanan selama enam bulan tanpa perubahan tempoh pembiayaan. - DagangNews.com