OCBC, Bank of Ningbo promosi JS-SEZ kepada pelabur di Beijing

LocalBusiness & Finance
23 Dec 2025 • 5:36 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

OCBC, Bank of Ningbo promosi JS-SEZ kepada pelabur di Beijing image is not available haziq23/12/2025 - 17:36 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Dis – OCBC dan Bank of Ningbo dari China mempromosikan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kepada 100 peserta dari kalangan komuniti perniagaan dan pelabur di Beijing.

 

Inisiatif berkenaan turut mendapat bekerjasama kerajaan negeri Johor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Johor dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

 

Promosi itu dilaksanakan menerusi dialog pelaburan eksklusif bertemakan ‘Memanfaatkan Peluang Perniagaan di JS-SEZ’, yang melibatkan wakil kanan syarikat korporat dan syarikat terkemuka China daripada pelbagai sektor.

 

Delegasi peringkat tinggi kerajaan negeri Johor yang diketuai Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menjadikan lawatan ini sebagai kunjungan rasmi pertama ke Beijing sejak penubuhan JS-SEZ. 

 

Turut serta ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han; Ketua Pegawai Eksekutif IRDA, Datuk Noorazam Osman; Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Ahmad Nazir Mohd Nasir; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Natazha Hariss serta Pengarah MIDA Johor, Mohamad Reduan Mohd Zabri.

 

Onn Hafiz berkata, dialog berkenaan berfungsi sebagai platform strategik untuk membina keterhubungan rentas sempadan, memperkukuh kedalaman industri serta mewujudkan ekosistem mesra perniagaan yang menyokong sektor bernilai tinggi.

 

“Dialog ini menandakan satu langkah penting dalam usaha mengeratkan hubungan ekonomi antara Johor dan China, dan kami amat gembira dengan minat kukuh yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat syarikat China di JS-SEZ,” katanya.

 

Beliau berkata, pelaburan dalam zon berkenaan akan mewujudkan pekerjaan berkualiti, menggalakkan pemindahan ilmu serta menjana nilai jangka panjang kepada rakyat Johor.

 

“Pelaburan dalam JS-SEZ bukan semata-mata untuk Johor, sebaliknya membuka capaian strategik ke pasaran ASEAN. Kerajaan negeri Johor akan terus mempermudah urusan pelaburan dan membina kerjasama rapat bagi memastikan kejayaan pelabur,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Malaysia, Tan Chor Sen berkata, JS-SEZ menawarkan potensi besar kepada syarikat-syarikat China, sejajar dengan prestasi pelaburan Johor yang memberangsangkan.

 

Menurut beliau, Johor mencatatkan pelaburan diluluskan bernilai RM91.1 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, tertinggi dalam kalangan negeri di Malaysia.

 

“Pencapaian ini mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap potensi JS-SEZ. OCBC berbangga menjadi penganjur bersama dialog ini bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke zon berkenaan,” katanya.

 

Beliau berkata, dengan kehadiran kukuh OCBC di China, Singapura dan Johor serta rangkaian ekosistem dan keupayaan kewangan Kumpulan OCBC, bank itu berada pada kedudukan strategik untuk memberikan sokongan menyeluruh kepada syarikat China yang ingin melabur di JS-SEZ.

 

“Sejak 2024, kami telah memperuntukkan pembiayaan berjumlah RM15 bilion kepada syarikat-syarikat perniagaan di Johor, merangkumi sektor seperti pusat data, pembuatan, penjagaan kesihatan, hartanah dan peruncitan,” katanya.

 

OCBC mempunyai catatan kukuh dalam membantu syarikat asing menubuhkan operasi di Malaysia, dengan cawangan pertamanya di Johor dibuka pada 1917 dan kini mempunyai lapan cawangan di negeri itu daripada keseluruhan 38 cawangan di seluruh negara. - DagangNews.com

Terkini standard