Ocean Ranger bantu tingkatkan ilmu pertolongan cemas

1 Oct 2023 • 12:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sebahagian peserta program Ocean Ranger yang diadakan di sebuah hotel di Seremban baru-baru ini.

image is not available
Para peserta diajar kemahiran asas renang dan menyelamat.

SEREMBAN - Pengusaha aktiviti rekreasi dan sukan air di pantai perlu mempunyai pengetahuan dalam aspek pertolongan cemas dan penyelamatan pantai.

Pengarah Projek Ocean Ranger, Megat Samsul Kamal Mohamad Zamberi berkata, ia sebagai persediaan sekiranya berlaku kecemasan atau kemalangan.

"Sebagai individu yang sentiasa berada di kawasan pantai, penting untuk mereka mempunyai sekurang-kurangnya kemahiran asas menyelamat tersebut.

"Oleh sebab itu kami anjurkan Program Ocean Ranger yang bertujuan mempertingkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang pertolongan cemas penyelamatan pantai dan jika berlaku kejadian kemalangan serta kecemasan, ia boleh dipraktikkan bagi membantu mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kursus yang diadakan secara percuma itu merangkumi konsep dan kemahiran asas renang serta menyelamat yang disampaikan dalam kaedah lebih mudah untuk difahami.

Ujarnya, program pertama telah diadakan baru-baru ini di sebuah hotel di daerah ini yang melibatkan peserta antaranya terdiri daripada pengusaha aktiviti pantai di Port Dickson, pelajar universiti dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Modul latihan juga disesuaikan untuk melatih rata-rata pekerja atau pengendali sukan air di pantai atau orang awam untuk menjadi pembantu pertolongan cemas yang berkelayakan jika berlaku sebarang kecemasan semasa aktiviti pantai yang dianjurkan mana-mana organisasi atau semasa kehadiran pengunjung yang membanjiri pantai Port Dickson.

"Selain itu program ini juga bertujuan memilih peserta terbaik yang dinilai oleh pelatih profesional yang diiktiraf untuk ke peringkat yang lebih intensif,"katanya.

View Original Article