IPOH - Seorang nelayan dijatuhi hukuman penjara 202 tahun dan 23 sebatan selepas didapati bersalah mencabul, melakukan persetubuhan dan merakam gambar bogel anak perempuan tirinya yang kini berusia 15 tahun sejak tiga tahun lalu.
Lelaki berusia 36 tahun itu membuat pengakuan bersalah di atas semua 22 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini semalam.
Lelaki terbabit bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara 38 tahun dan dikenakan 23 sebatan selepas mahkamah memerintahkan semua hukuman dijalankan secara serentak dari tarikh tangkapan pada 30 September 2019.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mempertimbangkan semua pertuduhan dan fakta kes yang dikemukakan termasuk rayuan daripada peguam dan hujahan pihak pendakwaan.
Tertuduh mengaku bersalah bagi lima pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan dan satu pertuduhan merakam gambar anak tirinya itu ketika memakai pakaian menggunakan telefon bimbit.
Sementara itu, tertuduh turut mengaku bersalah atas 14 pertuduhan melakukan persetubuhan dan hubungan seks tanpa kerelaan anak tirinya dan dua pertuduhan mencabul ketika mangsa berusia 12 tahun 10 bulan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Sitiawan, Manjung antara April 2016 hingga 29 September lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan.
Mengikut fakta kes, kesemua kesalahan dilakukan tertuduh itu terbongkar selepas ibu mangsa menemui kad memori SD yang mempunyai gambar mangsa dalam keadaan bogel sebelum satu laporan polis dibuat.
