LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi sedang melaksanakan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) mengesan seorang lelaki yang dipercayai terjatuh ketika cuba membaiki jet ski di perairan Pulau Tepor di sini petang semalam.
Pengarah Maritim Kedah Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, MRSC Langkawi menerima panggilan kecemasan menerusi talian 999 pada jam 8.20 malam, Khamis berhubung kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.12 malam di kedudukan lebih kurang 0.2 batu nautika Timur Laut Pulau Tepor.
“Sejurus menerima maklumat, aset Maritim Malaysia iaitu PETIR 81 diatur gerak ke lokasi kejadian pada jam 8.55 malam bagi melaksanakan pencarian awal.
"Usaha pencarian turut dibantu beberapa kru jetski yang berada berhampiran lokasi kejadian, manakala Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjalankan pemantauan di kawasan pesisir pantai,” katanya.
Menurutnya, Op Carilamat diaktifkan secara rasmi pada jam 8.30 malam dan diteruskan pagi Jumaat bermula 8 pagi dengan pembahagian tiga sektor pencarian melibatkan keluasan keseluruhan kira-kira 2.54 batu nautika persegi.
“Bagi menyelaras operasi secara lebih berkesan, sebuah Pusat Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di kawasan Pantai Tengah berhampiran Hidden Langkawi.
“Operasi hari ini melibatkan tiga aset laut pelbagai agensi iaitu Bot Penyelamat 5 milik Maritim Malaysia, Bot Kevlar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Bot RIB APM,” katanya.
**media[3534819]**
Beliau berkata, operasi pencarian berdepan cabaran susulan keadaan cuaca kurang baik di kawasan operasi dengan kelajuan angin antara 40 hingga 50 kilometer sejam, ombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter serta kejadian ribut petir di beberapa lokasi sekitar radius pencarian.
Berdasarkan maklumat saksi, mangsa dilaporkan hilang dari pandangan ketika cuba menyelamatkan jet ski yang dipercayai hanyut.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti rekreasi di laut, khususnya ketika keadaan cuaca tidak menentu.
Sebarang kecemasan atau insiden di laut hendaklah segera dilaporkan menerusi talian kecemasan 999 atau terus ke Pusat Operasi Maritim Malaysia berhampiran bagi memastikan tindakan bantuan dapat disalurkan segera.


