Tahun ini, kebanyakan telefon pintar mula menyokong paparan HDR dinamik. Jika anda menggunakan peranti seperti Samsung Galaxy S24, Google Pixel 9, Apple iPhone 16, Oppo Find X8 dan banyak lagi, ciri ini sukar untuk dielakkan kerana ia sangat menjengkelkan. Akan datang pada peranti Samsung, anda boleh mematikannya.

Ciri ini akan muncul dalam One UI 7, di mana pengguna boleh pergi ke tetapan Advanced features dan pilih untuk matikan mod Super HDR. Apabila ciri ini dimatikan, paparan kandungan akan menjadi lebih seimbang dan tidak akan menjadi terlampau terang sehingga sakit mata. Ciri ini turut dikatakan berfungsi untuk kandungan video HDR.

Bagi yang tidak tahu, peranti dengan kamera dan skrin yang menyokong paparan HDR seperti mod Super HDR, Pro XDR atau Ultra XDR boleh memaparkan sebahagian imej dan video menjadi lebih terang berbanding lain. Ia adalah satu kesan yang menjadikan kandungan kelihatan lebih realistik dan menarik. Cuma ia sangat menjengkelkan kerana tidak terkesan dengan mod kecerahan automatik skrin peranti dan boleh menyebabkan mata pengguna sakit.
One UI 7 buat masa ini masih dalam ujian beta untuk peranti Galaxy terpilih. One UI 7 akan ditawarkan dalam bentuk stabil selepas siri Galaxy S25 dilancarkan kelak. Sama-sama kita nantikan.
