OnePlus 11 akan kembali dengan kamera Hasselblad dan butang luncur fizikal

Digital
20 Dec 2022 • 5:56 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

OnePlus hari ini telah mengumumkan tarikh pelancaran untuk telefon pintar flagship mereka yang akan datang. Namanya turut dimaklumkan iaitu OnePlus 11 5G dan majlis pelancaran itu dipersembahkan sebagai “Cloud 11”.

Bagaimanapun, ia bukannya dalam masa terdekat. Pelancaran OnePlus 11 akan diadakan pada hari Selasa, 7 Februari 2022 dan dinyatakan akan dibuat di New Delhi, India. Dalam pengumuman yang sama, OnePlus berkongsi dua perkara penting yang akan muncul kembali di OnePlus 11.

image is not available

Pertama, kerjasama pakar kamera Hasselblad akan dibawa semula untuk OnePlus 11. Kedua, OnePlus akan mengembalikan butang luncur fizikal. Kedua-dua perkara ini sebenarnya masih ada di telefon pintar OnePlus 10 Pro tetapi telah dibuang daripada OnePlus 10T yang dilancarkan kemudian.

Khabar angin dan maklumat tidak rasmi

Sementara itu, maklumat tidak rasmi tentang OnePlus 11 telah tersebar di alam maya. Antaranya, ujian penanda aras telefon pintar OnePlus 11 telah ditemui di laman Geekbench yang menggunakan nombor model PHB110.

image is not available

Dalam laporan ujian itu, ia menunjukkan OnePlus 11 menggunakan cip 8-teras (gandingan 1+3+4 teras) dengan kelajuan tertinggi 3.19GHz. Ia juga dibekalkan GPU Adreno 740. Maklumat ini menunjukkan bahawa ini adalah cip Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2. Selain itu, ia juga menyatakan RAM 16GB terdapat di telefon tersebut. Turut tertera, sistem operasi Android 13.

image is not available

Manakala di laman pensijilan 3C, telefon yang menggunakan model nombor PHB110 didaftarkan oleh Oppo dengan kuasa mengecas sehingga 100W. Kuasa ini dipecahkan dalam kiraan 5-11V dan 9.1A.

Rupa penuh OnePlus 11 juga dikatakan telah terbocor. Kelihatan modul kamera belakangnya berbentuk bulatan, dicop besar logo Hasselblad di tengah dan memuatkan tiga kamera belakang serta LED Flash. Terdapat dua warna untuk OnePlus 11 iaitu hitam dan hijau. Tetapi mungkin akan ada warna lain diperkenalkan kelak.

image is not available

Selain itu, khabar angin mengatakan bahawa OnePlus 11 akan dilengkapi paparan AMOLED 6.7-inci dengan resolusi Quad HD+, kamera hadapan 16MP, kamera belakang gabungan lensa 50MP+48MP+32MP, serta bateri 5,000mAh.

OnePlus juga baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka akan menawarkan empat generasi kemaskini OxygenOS dan lima tahun kemaskini keselamatan, untuk peranti OnePlus terpilih. Jaminan ini dimaklumkan akan bermula pada tahun 2023. Pasti atau tidak, mereka patut memulakannya dengan OnePlus 11.

Berapa tepatkah maklumat ini? OnePlus pasti akan berkongsi sedikit demi sedikit menjelang pelancarannya dua bulan dari sekarang. Terus dapatkan laporan dari kami mengenai pelancaran OnePlus 11.

Bacaan Berkaitan