Google Gemini Nano adalah model bahasa raya (LLM) kecil yang disertakan terus ke dalam sistem Android dan juga ke dalam aplikasi sistem Android AICore. Ia adalah untuk menjalankan pemprosesan kecerdasan buatan generatif terus dari dalam peranti dan OnePlus 13 yang baru dilancarkan, mula menerimanya.

Dalam kemas kini Oxygen OS 15 CPH2655_15.0.0.402(EX01), aplikasi AICore mula terbina. Ciri ini adalah untuk Gemini pada aplikasi Google Message, di mana semua pemprosesan dan data tidak akan meninggalkan peranti pengguna. Ia diproses secara terus dan tidak melalui sebarang pelayan. Buat masa ini, ia terhad kepada Magic Compose.

AICore turut tersedia pada peranti Samsung Galaxy terpilih, siri Xiaomi 14T, siri Galaxy Z Fold6 dan Flip6. Gemini Nano turut boleh menjalankan banyak lagi ciri AI lain, tetapi pada OnePlus 13 – OnePlus turut ingin menggunakan teknologi AI mereka tersendiri iaitu AndesGPT.
Kemas kini ini diedarkan secara berperingkat dan belum tersedia untuk pengguna di Malaysia lagi.
