OnePlus tahun ini telah pun disahkan tidak akan hadir dengan peranti skrin boleh-lipat kerana tahun 2025 adalah eksklusif untuk Oppo Find N5. Namun, perancangan mereka mungkin berubah kerana peniris produk OnePlus terkenal iaitu Max Jambor mendedahkan kod nama peranti misteri yang mungkin adalah telefon dengan skrin boleh lipat.

Namun, masih tidak pasti jika ia benar-benar adalah pesaing kepada Find N5 atau Find N3 Flip. Kod nama bagi peranti ini dikatakan adalah Pagani. Ia juga dikatakan bukan peranti edisi terhad, sebaliknya adalah kod bagi peranti sebenar yang mungkin tiba pada tahun ini. Jika OnePlus melangkau Open yang sebelum ini hanyalah sebuah Find N3, adakah Pagani jawapan OnePlus untuk bersaing dengan Samsung Galaxy Z Flip? Mungkin ia adalah Find N3 yang diubahsuai atau Find N5 Flip tiada kerana berubah menjadi peranti misteri OnePlus ini.
Dengan OnePlus 13, mereka seakan sudah memberi petanda yang jenama ini mungkin akan kembali dengan lebih gah dan menjadi pesaing sengit. Bukannya jenama alternatif yang orang beli kerana pilihan yang terhad mengikut negara. Sama-sama kita nantikan dan lihat apakah peranti di sebalik nama OnePlus Pagani.

