OnePlus Perkenalkan OxygenOS 16 Dengan Ciri AI Lebih Pintar

Digital
21 Oct 2025 • 5:48 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

OxygenOS 16 diumumkan secara rasmi sebagai sistem operasi terbaru daripada OnePlus yang berasaskan Android 16. Ia hadir dengan pelbagai penambahbaikan terutamanya dalam fungsi kecerdasan buatan (AI) yang lebih pintar dan responsif mengikut tingkah laku pengguna.

image is not available

Antara ciri utama diperkenalkan ialah Plus Mind yang boleh mengenal pasti dan menangkap kandungan pada skrin untuk disimpan dalam ruang khas dipanggil Mind Space. Ia boleh diaktifkan melalui kekunci Plus atau leretan tiga jari ke atas dan kekunci tersebut juga boleh ditetapkan untuk fungsi lain.

image is not available

OxygenOS 16 memperkenalkan Parallel Processing 2.0 yang memberikan animasi navigasi dan interaksi sistem lebih lancar. Ia juga menyokong animasi cecair untuk skrin kunci dan laci aplikasi serta terdapatnya Flux Themes 2.0 yang membolehkan penyesuaian menarik seperti Motion Photos dan kertas dinding (wallpaper) berbentuk video.

Pengguna turut boleh menambah kesan visual yang berubah mengikut cara mereka berinteraksi. Selain itu, integrasi Gemini pula membolehkan maklumat daripada Mind Space digunakan untuk menghasilkan kandungan yang lebih peribadi dan relevan.

image is not available

Dalam aspek produktiviti, OxygenOS 16 dilengkapi dengan AI Writer yang membolehkan pengguna menghasilkan kandungan seperti peta minda, carta dan kapsyen di media sosial. Selain itu, AI Scan memudahkan pengguna mengimbas dokumen dan menukar kepada format PDF yang boleh dikongsi dengan mudah.

Bagi tujuan kreativiti, OxygenOS 16 menawarkan ciri AI Portrait Glow dan AI Perfect Shot untuk hasil gambar lebih menarik. Ia juga hadir dengan AI PlayLab yang memberi akses kepada ciri eksperimen seperti YumSee dan Party Up.

image is not available

Selain itu, sistem ini meningkatkan sambungan rentas ekosistem yang membolehkan peranti OnePlus berhubung dengan PC Windows, Mac dan produk Apple seperti Apple Watch untuk pemberitahuan serentak dan penjejakan data kesihatan.

Untuk tablet, OxygenOS 16 menawarkan antara muka yang lebih bebas dan boleh disesuaikan mengikut keperluan pengguna. Skrin utama telah ditambah baik dengan ikon dan dok yang lebih besar, serta menyokong sehingga 18 aplikasi.

image is not available

Ia juga dilengkapi ciri berbilang tugas melalui Open Canvas yang membolehkan lima aplikasi dijalankan serentak iaitu tiga dalam paparan berpecah dan dua lagi dalam tetingkap terapung yang boleh diubah saiznya.


OnePlus merancang pelancaran berperingkat untuk telefon pintar dan tablet bermula November 2025 hingga suku pertama 2026:

November 2025

  • OnePlus 13, OnePlus 13R, OnePlus 13s, OnePlus Open, OnePlus 12, OnePlus 12R, OnePlus Pad 3 & OnePlus Pad 2

Disember 2025

  • OnePlus 11 5G, OnePlus 11R 5G, OnePlus Nord 5, OnePlus Nord CE5, OnePlus Nord 4 & OnePlus Nord 3 5G.

Q1 tahun 2026 (Januari hingga Mac)

  • OnePlus 10 Pro 5G, OnePlus Nord CE4, OnePlus Nord CE4 Lite 5G, OnePlus Pad & OnePlus Pad Lite.

Waktu pelancaran ini mungkin berbeza mengikut rantau dan senarai ini hanya merangkumi peranti OnePlus untuk pasaran global. Sebagai tambahan, OnePlus 15 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi akan hadir dengan sistem operasi Android 16 secara terbina.