OnePlus Watch 3 baru sahaja dilancarkan malam tadi untuk pasaran luar Asia. Ia adalah pengganti kepada Watch 2 dengan skrin AMOLED 1.5-inci yang kini menggunakan bezel titanium dan kaca nilam. Kecerahan skrin pula adalah mencapai 2,200 nits kerana jam baharu ini memfokuskan penggunaan aktiviti tahan lasak.

Jam ini menjalankan sistem operasi Wear OS 5 yang terkini. Ia turut menyertakan tombol berputar yang berfungsi, bukan lagi hiasan seperti pada Watch 2. Untuk perlindungan tambahan, jam ini telah diiktiraf mengikut kadar tahan lasak bertaraf tentera, menyokong perlindungan air 5ATM dan IP68 serta terhad kepada WiFi sahaja. Jam ini turut menjalankan sistem operasi kedua berasaskan RTOS. Ia menggunakan konsep seakan TicWatch Pro 3, di mana mod jam menggunakan RTOS dan mod pintar menggunakan Wear OS.

Dua sistem operasi ini boleh dijalankan kerana cip Snapdragon W5 baharu yang dipadankan dengan cip BES 2800 dan storan 32GB. Untuk ciri pemantauan kesihatan, jam ini menggunakan sensor imbasan nadi 8-saluran dengan sensor oksigen dalam darah 16-saluran. Ia turut menyokong ECG dan ciri Health Check-In untuk menyemak data kesihatan badan dalam masa 60 saat.

Jam ini mempunyai ketahanan bateri sehingga 5 hari dan dengan mod RTOS sahaja sehingga 16 hari. OnePlus Watch 3 dilihat hanya akan dijual di negara seperti Amerika Syarikat, Eropah, Kanada dan luar Asia pada harga sekitar RM1,463. Jam ini mungkin tidak akan dijual di Malaysia kerana ura-ura Oppo Watch X2 akan tiba serentak dengan Find N5 nanti.
