JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor bersedia menghadiri program pelaksanaan projek KTM Komuter pada Selasa ini sekiranya menerima jemputan rasmi daripada Kementerian Pengangkutan.
Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bagaimanapun sehingga kini pejabatnya masih belum menerima sebarang surat jemputan rasmi serta butiran program daripada kementerian berkenaan meskipun jemputan telah disebut secara terbuka oleh Menteri Pengangkutan.
“Saya berasa terharu dan lega kerana akhirnya saya dan Kerajaan Negeri Johor mendapat jemputan yang ‘ikhlas’ daripada YB Menteri Pengangkutan untuk melihat pelaksanaan projek KTM Komuter pada Selasa ini.
“Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk hadir dan insya-ALLAH akan melapangkan jadual bagi tujuan tersebut. Pelaksanaan projek ini adalah demi kesenangan Bangsa Johor, bukannya kerjasama politik,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Onn Hafiz berkata, urusan rasmi kerajaan dan kerjasama politik merupakan dua perkara berbeza dan tidak seharusnya dicampuradukkan.
Beliau berkata, pihaknya hanya dimaklumkan mengenai jemputan tersebut menerusi laporan media yang melaporkan perkara itu diumumkan ketika program Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan pada malam sebelumnya.
Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan beberapa program Kementerian Pengangkutan sebelum ini yang didakwa berlangsung tanpa penglibatan rasmi Kerajaan Negeri Johor, termasuk lawatan ke CIQ pada Januari 2023, pengumuman berkaitan Sistem Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) pada 2024 serta lawatan ke projek ETS Segamat pada Mac 2025.
Menurut beliau, situasi sama turut berlaku ketika lawatan kerja Menteri Pengangkutan ke tapak projek RTS Link pada April lalu apabila Kerajaan Negeri tidak menerima jemputan rasmi.
Mengulas mengenai projek KTM Komuter, Onn Hafiz berkata Kerajaan Johor turut memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif tersebut.
Katanya, kerajaan negeri menyediakan bantuan sebanyak RM700,000 bagi kerja-kerja mencantikkan dan membalut tren selain bersetuju menyediakan perkhidmatan bas pengantara di stesen-stesen terlibat menerusi Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ).
“Kerajaan negeri juga menyelaras laluan Bas Muafakat Johor serta menaja tempat duduk demi keselesaan penumpang.
“Perkongsian ini bukan bertujuan untuk menuntut kredit, sebaliknya memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor turut menyumbang dalam menjayakan inisiatif Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau menegaskan projek pembangunan bukan milik mana-mana parti politik, sebaliknya tanggungjawab semua pihak yang diberi amanah untuk melaksanakannya secara profesional demi kepentingan rakyat.
“Saya menunggu surat jemputan rasmi dan butiran program. Insya-ALLAH saya akan melapangkan jadual saya bagi tujuan tersebut,” katanya.





