Op Bantu: Lebih 200 keanggotaan PDRM di Baling

7 Jul 2022 • 7:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Lebih 200 keanggotaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan menerusi Op Bantu di kawasan banjir dan kepala air di Baling, Kedah pada Khamis.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, penugasan itu melibatkan keanggotaan daripada peringkat Kontinjen Kedah, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Menurutnya, jumlah keanggotaan ini akan bertambah setiap hari sehingga operasi ini selesai.

image is not available

"Mangsa banjir diminta untuk bersabar sementara bantuan tiba.

"Diingatkan juga mana-mana individu untuk tidak mengambil kesempatan ke atas kesusahan mangsa dengan melakukan kes seperti curi. Walaupun setakat ini tiada laporan diterima, tapi ia tidak mustahil," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sejak Baling dilanda musibah banjir dan kepala air pada Isnin lalu, PDRM berpadu tenaga membantu membersihkan tanah lumpur yang telah memasuki rumah-rumah di kawasan Kampung Bukit Iboi dan Kampung Padang Empang.

Laman Facebook rasmi PDRM memaklumkan, pihaknya akan terus menghulurkan bantuan dalam apa jua keadaan sekalipun, kerana keselamatan penduduk sentiasa menjadi keutamaan sehingga keadaan kembali sedia kala.

image is not available

"Kami sentiasa mendoakan keselamatan mangsa banjir berada dalam keadaan yang baik dan semoga tabah menghadapi musibah yang tidak diduga ini," ujarnya.

Pada Isnin, Facebook rasmi Polis Kedah turut memaklumkan tindakan pantas anggota yang bertugas di Balai Polis Kupang, Konstabel Muhammad Syafiq Zainel mendukung seorang anak kecil yang menjadi mangsa musibah banjir Kampung Bukit Iboi sebelum ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

image is not available