Op Carilamat dua nelayan hilang di perairan Parit Hailam diperluas

16 Sep 2022 • 4:19 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BATU PAHAT: Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) dua nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Parit Hailam di sini Rabu lepas, diperluaskan kepada 230.88 batu nautika persegi dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata sonar turut digunakan bagi mengesan kedalaman dan kedudukan bot berkenaan sebelum pasukan penyelam turun mencari mangsa yang berkemungkinan terperangkap.

“Operasi ini melibatkan 24 pegawai dan anggota terdiri daripada polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia dengan kekuatan tiga buah bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pengarah Zon Maritim Batu Pahat Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus dilaporkan berkata dua nelayan masih hilang manakala dua lagi selamat selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Parit Hailam dan Op Carilamat diaktifkan pada 5 petang semalam.

Bot itu yang keluar memukat ikan dikendalikan empat kru warga tempatan dipercayai bertembung dengan ombak besar menyebabkannya terbalik dan karam di kedudukan kira-kira 9.6 batu nautika barat daya Parit Hailam.

Te Chia Rong, 38, dan Chia Hock Heng, 60, hilang dipercayai akibat tidak sempat keluar dari bot kerana sedang tidur ketika kejadian manakala Te Chia Haur, 40, dan Tee Kian Muar, 33, berjaya diselamatkan oleh nelayan lain yang berada berhampiran dengan lokasi.

Chia Haur dan Chia Rong adalah adik-beradik.-Bernama