KUALA LUMPUR – Polis setakat ini telah menyita kira-kira RM7.1 juta melibatkan wang tunai, barang kemas dan beberapa barangan susulan siasatan kes rampasan lebih tiga tan dadah bernilai RM240 juta dalam Op Coleoptera di Sabah baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sitaan tersebut dibuat hasil siasatan lanjut pihak polis terhadap individu yang ditahan dalam operasi berkenaan.
“Polis turut melanjutkan siasatan dari segi sitaan dan setakat ini kita telah menyita kira-kira RM7.1 juta melibatkan wang tunai, barang kemas serta beberapa barangan yang berkait dengan tangkapan.
“Sehingga kini, seramai 11 individu telah ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini pada Isnin.
Hussein berkata, pihaknya kini turut mengesan tiga individu bagi membantu siasatan kes berkenaan iaitu Ang Yue Suien, Yam Chee Feng dan Choy Weng Hong.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai terbesar dalam sejarah Sabah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, rampasan itu dilakukan menerusi dua operasi bersepadu iaitu Op Coleoptera dan Op Bayu 2 yang dijalankan oleh JSJN Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah serta beberapa agensi penguatkuasaan lain.
Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan beberapa serbuan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Sepanggar di Sabah selain operasi susulan di Selangor hasil risikan yang dijalankan.
Dalam Op Coleoptera, polis dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan serta Lembaga Pelabuhan Malaysia berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa terbesar di Sabah.
