Op Hazard 3.0: 56 warga asing diberkas, e-waste RM187 juta dirampas

LocalEnvironment
9 Apr 2026 • 12:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hakemal menunjukkan statistik operasi. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR– Seramai 56 warga asing diberkas serta pelbagai sisa elektronik atau e-waste bernilai RM187 juta dirampas dalam Op Hazard 3.0 yang dijalankan secara serentak di tiga negeri pada Isnin.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, kesemua tangkapan itu membabitkan warga China, Myanmar dan Bangladesh berusia 30 hingga 50 tahun.

"Operasi pada jam 10.30 pagi itu dilaksanakan di 14 lokasi di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

"Kesemua warga asing yang ditahan berperanan sebagai pekerja kilang e-waste," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.

Hakemal berkata, operasi bersepadu itu turut melibatkan Pasukan Gerakan Udara, Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan serta Lembaga Hasil Dalam Negeri.

"Daripada jumlah itu, seramai 48 adalah lelaki manakala lapan lagi wanita ditahan,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian 2021.

"Kes turut disiasat mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 serta Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Dalam perkembangan sama, Hakemal memaklumkan sebanyak 140 serbuan telah dijalankan di kawasan tanggungjawab Briged Tengah meliputi Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor Sejak 1 Januari hingga 9 April.

“Sepanjang tempoh itu, seramai 394 individu berjaya ditangkap dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM216 juta,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan pengurusan e-waste yang menyalahi undang-undang.

"Orang ramai digalakkan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan kes penyeludupan bagi memastikan negara tidak diceroboh oleh mana-mana elemen aktiviti menyalahi undang-undang," katanya.