
REMBAU – Seorang pesara tentera masih tidak dapat melupakan keberanian dan wajah sahabatnya yang terkorban ketika bertempur menentang komunis dalam Op Iblis meskipun tragedi berdarah itu sudah puluhan tahun berlalu.
Ahmad Sulaiman, 78, berkata, sahabat baiknya, Abdul Rahim Itam Ismail gugur dalam pertempuran lebih lima dekad lalu.
Katanya, pemergian Abdul Rahim bukan sekadar kehilangan seorang rakan seperjuangan, sebaliknya kenangan pahit yang terus dibawa bersamanya.
“Rahim sangat berani. Dia tidak akan lari apabila pertempuran berlaku,” katanya ketika mengimbau semula operasi yang menyaksikan sahabat baiknya itu terkorban.
Abdul Rahim gugur ketika mereka menyertai misi bantuan Op Iblis pada 13 Jun 1971, susulan kematian Kapten Chandran yang turut mencetuskan pertempuran dengan komunis.
Ketika itu, Ahmad dan rakan-rakan seperjuangan sudah mengetahui risiko yang menanti setiap kali mereka memasuki medan operasi.
“Kami sudah bersedia sebelum masuk ke medan dan tahu apa saja boleh berlaku,” katanya.
Bagi Ahmad, kehilangan anggota dalam pertempuran menjadi lumrah yang terpaksa diterima mereka ketika berkhidmat dalam pasukan keselamatan.
“Kalau kena tembak, kami reda. Bila dengar ada anggota meninggal dunia, kami menerima dengan hati yang reda,” katanya.
Kenangan itu kembali mengimbau perjalanan Ahmad menyertai 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (12 RAMD) selepas tragedi 13 Mei 1969, sebelum menjalani latihan sebagai antara 150 rekrut terawal di Batu Gajah, Perak.
Ketika itu, ancaman komunis masih kuat dan semangat mempertahankan negara mendorong Ahmad bersama anak-anak muda lain menyertai pasukan keselamatan.
Sepanjang 18 tahun perkhidmatan, dia turut melalui pertempuran getir di Kuak Ulu, Kroh, Perak pada 3 Jun 1970 sebelum bersara pada 1987 dengan pangkat Pegawai Waran 2.
Namun, daripada puluhan tahun pengalaman di medan tugas, nama Abdul Rahim kekal antara kenangan yang paling dekat di hati Ahmad.
“Ramai rakan seperjuangan saya sudah tiada. Alhamdulillah, saya dipanjangkan usia sampai ke hari ini,” katanya.
Selepas bersara, Ahmad aktif dalam Persatuan Bekas Tentera Rembau dan pernah menjadi pengerusi sebelum meneruskan khidmat sebagai penasihat.
Beliau turut menerima penghargaan Wira Tak Didendang pada sambutan Hari Veteran di Seremban serta penghargaan pada Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Tentera Malaysia Negeri Sembilan pada 2023.
Bapa kepada tujuh anak itu turut tidak menghalang anak-anak menyertai badan beruniform, termasuk seorang anak perempuannya yang pernah berkhidmat dalam tentera sebelum bersara.
The post Op Iblis tuntut nyawa, tekad lawan komunis appeared first on Kosmo Digital.
