
KUALA LUMPUR: Op Manis yang dilaksanakan bagi memastikan bekalan dan pengedaran gula stabil diteruskan hingga 30 Jun dan diperluas ke seluruh negara, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Beliau berkata pihaknya melalui langkah penguatkuasaan itu yang kini digelar Op Manis 2.0 akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menjual gula putih bertapis kasar dan halus secara bersyarat, menyorok bekalan atau menjual melebihi harga kawalan.
“Sekiranya berlaku perkara-perkara ini, KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) akan keluarkan satu arahan mereka (pesalah laku) ini digantung lesen untuk tujuan siasatan dan disenarai hitam jika terbukti bersalah. Kita tidak mahu dengar lagi perkara ini,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Sementara itu, Salahuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh KPDN hari ini berkata sebanyak 2,576 premis perniagaan melibatkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah diperiksa oleh Pasukan Petugas Khas menerusi Op Manis setakat 4 Jun lepas.
Hasil pemeriksaan itu, tujuh premis dikenakan tindakan iaitu lima di Kedah dan masing-masing satu di Kelantan dan Terengganu kerana antaranya didapati menjual gula melebihi harga kawalan dan menjual gula dengan mengenakan syarat yang tidak sah.
“Secara keseluruhannya, bekalan gula di pasaran tidak menunjukkan sebarang masalah yang kritikal, mencukupi, stabil dan berupaya menampung permintaan semasa,” katanya.
Beliau berkata pihak KPDN dengan kerjasama syarikat pengeluar gula tempatan secara berterusan mengambil tindakan dan inisiatif dalam membantu mempercepat pengedaran bekalan daripada peringkat kilang kepada pemborong dan rantaian sehingga peringkat pengguna akhir.
Salahuddin berkata berdasarkan pemantauan terhadap syarikat MSM Malaysia Holdings dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) pada Mei mendapati kedudukan jumlah pengedaran gula syarikat MSM ialah 28,243 tan metrik (mt) bagi gula pasir putih bertapis (kasar dan halus) pek satu kilogram dan dua kilogram serta 772 mt bagi gula jernih manakala CSR pula mengedarkan 6,546 mt gula pasir putih bertapis (kasar dan halus) pek satu kilogram dan dua kilogram.
Jumlah minimum pengeluaran dan edaran bulanan gula pasir putih bertapis (kasar dan halus) pek satu kilogram dan dua kilogram yang ditetapkan kepada MSM Malaysia Holdings Berhad ialah 24,000 mt manakala CSR sebanyak 18,000 mt.
“KPDN ingin menegaskan kepada setiap pihak terlibat pada setiap rantaian perbekalan gula supaya terus mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan penjualan gula dan tiada mana-mana pihak boleh menyorok, enggan menjual atau mengenakan penjualan bersyarat serta menjalankan urus niaga gula tanpa lesen.
“Orang ramai turut disarankan agar menjadi mata dan telinga kepada pihak kementerian dengan menyalurkan aduan dan maklumat melalui satu daripada saluran aduan rasmi kementerian,” katanya. - Bernama


