KUALA LUMPUR– Seramai 21 lelaki yang disyaki terlibat kumpulan jenayah kekerasan di sekitar kawasan Kota Samarahan, Kuching, Simunjan dan Padawan, Sarawak ditahan menerusiOp Pusak Merah pada Rabu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, operasi itu telah dilancarkan secara kolaborasi oleh Bahagian D9, JSJ Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.
"Operasi ini menyasarkan kumpulan yang bergiat aktif dalam melakukan kesalahan jenayah kekerasan di sekitar daerah berkenaan sejak tahun 2024 sehingga kini.
"Hasil serbuan di beberapa lokasi berasingan, polis berjaya menahan kesemua suspek lelaki berusia antara 19 hingga 44 tahun," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Kumar berkata, semakan awal mendapati kesemua tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau termasuk merusuh, mendatangkan cedera parah, samun, khianat serta kesalahan berkaitan dadah.
"Tindakan operasi ini dilaksanakan sebagai usaha proaktif kita dalam melumpuhkan sindiket yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pemerasan, mendatangkan cedera parah dan merusuh dengan menggunakan senjata sehingga mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat.
"Usaha mengesan serta menahan beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian kumpulan tersebut yang masih bebas sedang giat dijalankan," katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula Rabu hingga Isnin bagi membantu siasatan.
"Siasatan mengikut Seksyen 148, Seksyen 326, Seksyen 384, Seksyen 394, Seksyen 427 dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan," katanya.
Kumar berkata, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam jenayah, gengsterisme dan jenayah kekerasan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
"Orang ramai turut diseru untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras kegiatan jenayah daripada terus berleluasa," katanya.



