Op Selamat 2026: Pulau Pinang catat sifar kes pecah rumah

LocalPolitics
31 Mar 2026 • 6:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Op Selamat 2026 dilancarkan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri daripada 19 hingga 24 Mac lalu. Gambar kecil: Azizee

GEORGE TOWN – Polis Kontinjen Pulau Pinang mencatatkan sifar kes pecah rumah sepanjang pelaksanaan Op Selamat 2026 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dari 19 hingga 24 Mac lalu.

Ia sekali gus membuktikan keberkesanan strategi rondaan pencegahan jenayah yang dilaksanakan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kejayaan itu dicapai hasil pendekatan proaktif serta komitmen berterusan seluruh warga pasukan dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara sepanjang musim perayaan.

Menurutnya, sepanjang tempoh operasi, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Pulau Pinang menerima sebanyak 474 laporan balik kampung melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) serta borang fizikal di balai polis.

“Berdasarkan maklumat tersebut, polis telah melaksanakan sebanyak 13,953 penugasan rondaan melibatkan Mobile Patrol Vehicle (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) secara terancang, berfokus dan menyeluruh.

“Penugasan ini turut mengambil kira lokasi kediaman yang ditinggalkan serta analisis trend jenayah lampau bagi memastikan tindakan pencegahan jenayah dapat dilaksanakan secara lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, penguatkuasaan trafik turut dipertingkatkan apabila sebanyak 10,681 saman dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan, meningkat sebanyak 2,303 saman berbanding Op Selamat 24/2025.

Katanya, peningkatan tersebut mencerminkan tahap penguatkuasaan yang lebih tegas serta kehadiran polis yang lebih proaktif dalam memastikan pematuhan undang-undang jalan raya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kadar kemalangan maut kekal terkawal dengan hanya empat kes direkodkan dan tidak melebihi sasaran yang ditetapkan berdasarkan Op Selamat 24/2025.

“Daripada jumlah tersebut, hanya satu kes dilaporkan berlaku di kawasan hotspot, sekali gus menunjukkan keberkesanan penugasan dan pemantauan di lokasi berisiko tinggi.

"Terima kasih kepada masyarakat yang memberikan kerjasama baik dengan menyalurkan maklumat melalui aplikasi VSP.

“Kerjasama erat antara polis dan komuniti amat penting dalam memperkukuh usaha pencegahan jenayah serta memastikan keselamatan harta benda masyarakat sentiasa terpelihara, khususnya sepanjang musim perayaan,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa bermula 1 Januari tahun ini, struktur baharu pembayaran saman trafik diperkenalkan menerusi konsep “The Less You Delay, The Less You Pay”.

Jelasnya, di bawah struktur itu, diskaun 50 peratus diberikan bagi bayaran dalam tempoh 1 hingga 15 hari pertama, diikuti diskaun 33 peratus bagi tempoh 16 hingga 30 hari, manakala kadar maksimum RM300 dikenakan bagi bayaran antara 31 hingga 60 hari.

“Bagi tempoh 61 hari ke atas, tindakan mahkamah atau senarai hitam akan dikenakan.

"Orang ramai boleh membuat semakan dan pembayaran saman melalui aplikasi atau portal MyBayar PDRM, MyJPJ, kaunter atau kiosk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta di pejabat Pos Malaysia,” katanya lagi.