Op Selamat 23 catat penurunan kes kemalangan, kematian

4 Feb 2025 • 7:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PETALING JAYA, 4 FEB: Polis merekodkan 7,882 kes kemalangan jalan raya di seluruh negara sepanjang tempoh Op Selamat 23 sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bermula 28 Jan hingga 2 Feb, menurun 10 peratus berbanding 8,784 kes pada Op Selamat 21, tahun lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata jumlah kes kemalangan maut juga turun kepada 64 kes berbanding 104 kes bagi tempoh sama, manakala 66 kematian direkodkan berbanding 117 sebelum ini.

“Penunggang dan pembonceng motosikal kekal mencatatkan angka korban tertinggi iaitu 47 kematian,” katanya pada Majlis Apresiasi Op Selamat 23 sempena Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Razarudin berkata secara keseluruhan, sebanyak 124,286 saman dikeluarkan sepanjang pelaksanaan Op Selamat 23, berbanding 183,033 saman pada Op Selamat 21.

Razarudin berkata terdapat peningkatan ketara aliran trafik di seluruh negara sepanjang Op Selamat 23, dipercayai dipengaruhi jumlah kenderaan berdaftar iaitu 36.6 juta kenderaan sehingga Januari tahun ini.

Beliau berkata peningkatan itu juga dipercayai didorong faktor orang ramai mengambil peluang melakukan perjalanan semasa tempoh diskaun bayaran tol sebanyak 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina.

Selain itu, kes jenayah pecah rumah turut menurun dengan 202 kes yang direkodkan tahun ini berbanding 265 kes pada tahun lepas.

– BERNAMA

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved