Op Sky: SPRM Tidak Bekukan Akaun Selebriti

LocalPolitics
6 Feb 2025 • 3:35 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Tiga selebriti dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini untuk membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram dalam operasi Op Sky yang melibatkan syarikat perunding kewangan.

SPRM tidak beku akaun selebriti dalam dalam Op Sky

image is not available

Foto: Berita RTM

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan ketiga-tiga individu tersebut hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi melengkapkan siasatan tentang peranan mereka dalam mempromosikan pakej syarikat berkenaan kepada penjawat awam.

“Buat masa ini, kami melihat ketiga-tiga individu ini sebagai pempengaruh (duta) kepada syarikat berkenaan. Mereka dipanggil bukan sahaja untuk melengkapkan siasatan.

“Tapi juga bagi meneliti mengapa syarikat itu menggunakan selebriti untuk mempromosikan pakej mereka kepada penjawat awam, khususnya dalam permohonan pinjaman dari institusi kewangan,” katanya dalam sidang media berhubung perkembangan pencegahan SPRM di Putrajaya.

Azam turut menjelaskan bahawa akaun bank selebriti tersebut tidak dibekukan, namun pembekuan hanya melibatkan syarikat perunding kewangan yang terlibat.

“Setakat ini, saya dimaklumkan sejumlah RM18 juta wang dalam akaun yang dibekukan dan duit ini dalam akaun syarikat berkenaan,” tambahnya.

“Kita tidak mempertikaikan bayaran yang mereka terima, tetapi jika jumlah pelaburan yang begitu besar dibuat untuk membayar selebriti, ia menimbulkan kemusykilan kepada kami. Dalam penyiasatan ini, kita melihat kepada semua sudut,” ujarnya.

Op Sky bongkar isu penyelewengan

SPRM sebelum ini mendedahkan bahawa beberapa selebriti menerima bayaran sehingga RM400,000 dalam tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat tersebut.

Beliau mendedahkan syarikat berkenaan menggunakan modus operandi dengan meminta peminjam untuk melabur kembali wang mereka ke dalam syarikat tersebut selepas pinjaman diluluskan.

“Ini satu lagi perkara yang perlu kita lihat sama ada ia mungkin berlaku dan kesalahan ini dipanggil pengambilan deposit secara tidak sah,” katanya.

Sumber: Berita RTM